Bangkit segera Pearly-Thinaah

Pearly (kiri) dan Thinaah gagal mempamerkan prestasi terbaik pada Seluruh England dan Terbuka Switzerland.
Pearly (kiri) dan Thinaah gagal mempamerkan prestasi terbaik pada Seluruh England dan Terbuka Switzerland.
A
A
A

BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah mengalami satu lagi episod duka selepas tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland pada awal pagi Rabu.

Episod duka yang ditempah Pearly-Thinaah itu umpama mengulangi kegagalan mereka pada Seluruh England di Birmingham yang menyaksikan beregu kelapan dunia itu tumbang seawal pusingan pertama.

Dalam aksi pusingan pertama Terbuka Switzerland di Basel awal pagi Rabu, Pearly-Thinaah terpaksa akur tumbang di tangan beregu Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun dengan kekalahan 15-21, 21-14, 16-21.

Kekalahan awal itu menyaksikan misi Pearly-Thinaah untuk merampas kembali kejuaraan Terbuka Switzerland yang dimenangi mereka pada edisi 2021 tidak kesampaian.

Jurulatih beregu negara, Hoon Thien How berkata, dua faktor dikenal pasti menjadi antara punca Pearly-Thinaah gagal beraksi baik sehingga mengundang kepada kekalahan mereka.

“Dalam dua kejohanan ini (Seluruh England dan Terbuka Switzerland, saya lihat serangan mereka gagal mematikan (bulu tangkis) lawan. Sebaliknya, apabila lawan melakukan serangan, mereka hanya bertahan tanpa idea.

“Selain itu, banyak kesilapan sendiri yang dilakukan mereka. Saya lihat Pearly banyak buat kesilapan sendiri, lawan tidak matikan (bulu tangkis) kita, sebaliknya kita sendiri yang beri mereka mata mudah,” katanya.

Dengan berbaki kurang dua bulan sebelum pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula pada 1 Mei depan, Thien How berharap Pearly-Thinaah kembali memperkemaskan permainan masing-masing.

“Paling penting sekarang adalah untuk mengembalikan permainan sebenar dan tahap keyakinan mereka. Untuk mendapatkan keyakinan semula, Pearly-Thinaah perlu menang,” ujarnya.

Selepas mengakhiri tugasan dalam tiga kejohanan di Eropah termasuk Terbuka Jerman yang menyaksikan mereka mara sehingga peringkat separuh akhir, Pearly-Thinaah kini mempunyai tempoh sebulan bagi melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Badminton Asia di Dubai dari 25 hingga 30 April.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!