Jadikan kejayaan Michelle inspirasi raih emas Olimpik

Michelle Yeoh atas kejayaannya dinobat Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Academy atau Oscar edisi ke-95 di Amerika Syarikat minggu lalu. - Foto EPA
Michelle Yeoh atas kejayaannya dinobat Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Academy atau Oscar edisi ke-95 di Amerika Syarikat minggu lalu. - Foto EPA
A
A
A

SEKALUNG tahniah diucapkan kepada pelakon kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh atas kejayaannya dinobat Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Academy atau Oscar edisi ke-95 di Amerika Syarikat minggu lalu.

Kejayaan Michelle menerusi lakonan hebatnya sebagai Evelyn Quan Wang dalam filem Everything Everywhere All At Once arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert, menjadikan beliau pelakon wanita pertama Asia memenangi anugerah berprestij itu.

Lebih membanggakan, pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu menewaskan beberapa nama besar seperti Cate Blanchett yang tercalon menerusi filem TÁR, Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle Williams (The Fabelmans).

Majoriti rakyat Malaysia nyata berbangga dengan lakaran sejarah dicipta pelakon berusia 60 tahun itu yang dianggap inspirasi kepada ramai pihak dalam pelbagai lapangan untuk terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

Malah, ada yang menganggap kejayaan Michelle di pentas berprestij itu umpama Malaysia berjaya meraih gelaran juara bola sepak Piala Dunia atau memenangi sebutir kilauan pingat emas temasya Sukan Olimpik.

Sudah lama rakyat kita menantikan kejayaan lebih gemilang barisan atlet negara. Sebelum ini, kita sudah disajikan dengan kejayaan bekas jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei mahupun bekas ratu skuasy, Datuk Nicol Ann David.

Selain pencapaian hebat Chong Wei dan Nicol, tidak dilupakan juga kejayaan skuad bola sepak kebangsaan yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan edisi Moscow 1980.

Malah, himpunan dan deretan pingat yang dibawa pulang atlet negara pada temasya sukan paling berprestij di dunia itu tetap dianggap satu lagi kejayaan manis buat arena sukan tanah air.

Namun, tidak lengkap rasanya kejayaan yang dicapai barisan legenda dan atlet negara sebelum ini jika kontinjen Malaysia masih lagi gagal meraih pingat emas Sukan Olimpik.

Dengan mengambil inspirasi kejayaan Michelle menggondol trofi Oscar, sudah sampai masanya dan masih belum terlambat buat barisan atlet negara mencipta nama dan kemasyhuran di gelanggang masing-masing.

Setiap atlet yang berjuang atas nama Malaysia harus mempunyai visi dan misi untuk menjadi yang terbaik, sekali gus menoktahkan penantian panjang rakyat Malaysia untuk melihat kilauan emas sulung Sukan Olimpik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!