'Tak berebut berniaga di bazar Ramadan'

Ahmad Luqman menunjukkan menu air buah yang dijual di gerainya. Mohammad Fadli (kanan) setia berniaga di gerainya di Jalan Kubang Kerian sepanjang Ramadan.
Ahmad Luqman menunjukkan menu air buah yang dijual di gerainya. Mohammad Fadli (kanan) setia berniaga di gerainya di Jalan Kubang Kerian sepanjang Ramadan.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketika ramai peniaga berebut memilih bazar Ramadan untuk mencari rezeki sepanjang bulan puasa, masih ada yang mahu kekal di tapak perniagaan asal.

Beberapa peniaga yang ditemui sekitar bandar ini tetap berniaga di tapak asal kerana mereka sudah dikenali pelanggan selain tidak mahu menyewa pada kadar yang dianggap tidak setimpal dengan pendapatan.

Peniaga Pasar Malam Mydin Mall Tunjong, Ahmad Luqman Che Hashim, 31, antara peniaga yang tidak mahu menyewa di kawasan lain.

Katanya, sejak diberhentikan kerja tahun lalu, dia mula mencari peluang berniaga di pasar malam dan bersyukur kerana sudah ada pelanggan yang mengenalinya.

Ahmad Luqman yang berniaga pelbagai jenis air buah asli termasuk epal hijau asam boi, kurma dan strawberi akan dibantu isteri, Noorsyahidah Mohd Ariffin, 30, dan seorang lagi pembantu sepanjang Ramadan.

"Tapak pasar malam ini diubah kepada bazar Ramadan sepanjang bulan puasa ini dan saya tetap memilih berniaga di sini," katanya.

Jelasnya, walaupun ramai pesaing kerana dimaklumkan ada 25 gerai menjual air, Ahmad Luqman tetap optimis dan berharap persaingan itu sesuatu yang positif.

"Saya juga akan menjual kuih onde-onde panas dan donut," katanya.

Sementara itu, peniaga nasi ayam kukus di Jalan Wakaf Che Yeh, Meersyam Mazlan menganggap tapak perniagaannya sejak lebih setahun lalu sudah dikenali.

Meersyam (kiri) menggoreng ayam di gerainya di Wakaf Che Yeh.
Meersyam (kiri) menggoreng ayam di gerainya di Wakaf Che Yeh.

Meersyam meneruskan perniagaan keluarga yang mempunyai empat cawangan iaitu Peringat, Wakaf Stan, Wakaf Che Yeh dan Pasir Puteh.

Katanya, persiapan yang dilakukan sama seperti hari biasa kerana orang ramai mempunyai banyak pilihan untuk berbuka puasa.

"Kami akan memulakan perniagaan pada jam 3 petang hingga 7 malam sahaja sepanjang Ramadan," katanya.

Peniaga nasi khomok dan pulut ayam di Jalan Kubang Kerian, Mohammad Fadli Baharuddin, 28, juga tidak memilih bazar Ramadan kerana gerainya cukup strategik dan sudah dikenali pelanggan.

Katanya, sempena Ramadan, beberapa menu Thailand asli seperti somtam, colek dan kerabu akan dijual di gerainya sebagai tambahan kepada pelanggan.

"Kami juga ada permintaan daripada beberapa peniaga lain yang mahu menjual nasi khomok siap bungkus," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!