Lebih 3,400 pemukul gendang kejut penduduk Istanbul sahur
ANKARA - Seperti tradisi umat Islam lain di seluruh dunia, penduduk di Istanbul, Turkiye akan dikejutkan dengan paluan gendang bertujuan mengejutkan mereka untuk bersahur pada bulan Ramadan.
Tradisi itu tidak lapuk ditelan zaman, biar pun generasi hari ini dilengkapi kecanggihan teknologi seperti kemunculan telefon pintar yang dijadikan sebagai penggera atau jam loceng.
Sempena Ramadan kali ini, seramai 3,400 pemukul gendang terdiri daripada individu pelbagai peringkat umur ditugaskan bagi mengejutkan orang ramai di 963 kawasan kejiranan di seluruh Istanbul.
Pengerusi Kejiranan Istanbul, Selami Aykut berkata, tradisi itu telah bermula sejak era pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah.
Lebih menarik, tugas pemukul gendang adalah diwarisi sejak turut-temurun daripada ahli keluarga terdahulu.
"Kesemua 3,400 pemukul gendang ini bukan tangkap muat sebaliknya mereka telah terlibat sejak bertahun-tahun. Ada pemukul gendang yang mewarisi tugas itu daripada bapa dan datuk mereka.
"Anak kecil atau remaja pula bukan pemukul gendang sembarangan kerana mereka perlu menjalani ujian dan lulus sebelum diberikan kad khas 'pemukul gendang Ramadan' bagi membolehkan mereka terlibat dalam aktiviti ini selama sebulan," katanya.
Tambahnya, selain memukul gendang dan melaungkan perkataan sahur berulang kali, petugas atau pemukul gendang juga akan membaca puisi pendek sebelum meneruskan perjalanan ke rumah-rumah lain. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!