Permohonan Rosmah isytihar perolehan harta didengar 10 Mei

Rosmah Mansor.- Foto Sinar Harian Rosli Talib
Rosmah Mansor.- Foto Sinar Harian Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 10 Mei untuk mendengar permohonan pendakwaan supaya isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengisytiharkan perolehan hartanya dalam kes pengubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu semasa sebutan semula kes itu di hadapannya yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan peguam Datuk Geethan Ram Vincent, yang mewakili Rosmah, 67.

Terdahulu Geethan memohon tempoh seminggu untuk memfailkan hujahan balas berhubung permohonan yang difailkan pendakwaan itu.

Pada 4 Okt 2018, Rosmah yang juga diwakili peguam Manjeet Singh Dhilion dan Datuk K. Kumaraendran mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rosmah didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini antara 4 Dis 2013 dan Jun 8 Jun 2017 dan di LHDN, di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!