Sheikh Jassim, Ratcliffe hantar bidaan kedua
PERSAINGAN untuk membeli Manchester United semakin hangat apabila pemilik bank Qatar, Sheikh Jassim Bin Hamad Al Thani dan jutawan British, Jim Ratcliffe bersedia untuk meningkatkan bidaan mereka untuk membeli pasukan tersebut.
Kedua-dua pihak dijangka meningkatkan tawaran awal mereka selepas tarikh akhir penyerahan dilanjutkan oleh bank Raine yang bertindak sebagai pihak ketiga membantu penjualan kelab itu.
Sky Sports turut melaporkan bahawa Sheikh Jassim dan Ratcliffe telah diberikan lanjutan masa untuk mengemukakan bidaan baharu kerana kekeliruan mengenai tempoh akhir masa tersebut.
Pemilik United, keluarga Glazer sebelum ini meletakkan kelab itu bernilai £6 bilion (RM32.8 bilion) dan mencatat rekod dunia harga untuk sebuah kelab sukan.
Bidaan Sheikh Jassim mahu menguasai 100 peratus kelab itu menjanjikan penghapusan hutang United sebanyak AS$620 juta (RM2.76 bilion) dan melabur untuk stadium baharu serta tempat latihan.
Sumber yang rapat dengan tawaran Sheikh Jassim memberitahu AFP bahawa pemilik bank Qatar itu tetap yakin tawarannya adalah yang terbaik untuk kelab, peminat dan komuniti tempatan.
Pengasas syarikat bahan kimia INEOS, Ratcliffe pula lebih berhati-hati dengan penelitiannya dan menegaskan dia tidak akan membayar harga 'bodoh' dalam pertarungan tawaran untuk kelab bola sepak paling ikonik itu.
"Bagaimana anda menentukan harga sebuah lukisan? Bagaimana anda menentukan harga sebuah rumah? Ia bukan berkaitan berapa kos untuk membinanya atau berapa kos untuk melukis," kata Ratcliffe kepada Wall Street Journal minggu ini.
"Apa yang anda tidak mahu lakukan ialah membayar harga yang bodoh untuk sesuatu kerana anda akan menyesal selepas itu," ujarnya.
Ratcliffe yang mahukan 69 peratus saham dimiliki keluarga Glazer berkata, minatnya terhadap United ialah 'untuk menang sesuatu dengan melabelkan kelab itu sebagai aset komuniti'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!