Inisiatif semarak aktiviti wakaf diteruskan
KUALA LUMPUR - Kerajaan menggesa inisiatif menyemarakkan aktiviti wakaf diteruskan dengan penglibatan semua pihak termasuk swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak berkenaan boleh memilih untuk menetapkan kaedah dan keutamaan dalam bidang-bidang tertentu.
"Wakaf ini merupakan tradisi Rasullah SAW yang mewakafkan kebun kurma di Madinah dan tradisi ini mesti kita hidupkan," katanya dalam rakaman sempena Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan yang disiarkan secara langsung menerusi program Assalamualaikum siaran TV Hijrah.
Menurutnya, kerajaan turut mengkaji dan meneliti tanah wakaf sedia ada untuk dibangunkan seperti mana yang telah diusahakan di seluruh negara.
"Insya-ALLAH saya juga dapat memantau syarikat kerajaan untuk mencari hala tuju baharu bagi mendekatkan usaha sedemikian," katanya pada Khamis.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga akan mengumumkan inisiatif Wakaf Madani yang dalam masa terdekat.
"Semasa Belanjawan 2023 baru-baru ini saya ada umumkan pembentukan Wakaf Madani dengan aset RM1bilion dan dalam masa terdekat kita boleh umum perancangan serta langkah-langkah untuk memajukan wakaf secara keseluruhan," katanya.
Pada 24 Februari lalu, Anwar berkata, aset Wakaf Madani itu terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan serta pendidikan itu akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.
Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf yang dipengerusikan olehnya dengan objektif wakaf menyumbang 20 peratus pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!