TH mudahkan urusan pendeposit tunai zakat
SHAH ALAM - Zakat merupakan suatu kewajipan yang difardukan oleh ALLAH SWT melibatkan pemberian harta pada kadar tertentu oleh golongan berkemampuan kepada asnaf yang layak.
Pakar Kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, zakat bertindak sebagai suatu mekanisme pembersihan harta dan penyucian jiwa daripada sifat bakhil.
Menurutnya, zakat secara asas terbahagi kepada dua iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat harta pula terbahagi kepada zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat emas, zakat saham dan sebagainya.
“Pelaburan yang berasaskan dividen pula tergolong dalam kategori harta yang berkembang diwajibkan zakat.
“Ini sesuai dengan kaedah dalam ibadah zakat setiap harta yang berkembang adalah sumber untuk zakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mengenai simpanan zakat umat Islam dalam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), ujarnya ia bergantung kepada jenis simpanan.
Jelasnya, jika ia simpanan yang bebas dikeluarkan oleh penyimpan dalam bentuk ‘demand deposit’, maka setelah cukup syarat, GLIC boleh mengeluarkan zakat bagi pihak penyimpan.
Katanya, jika ia bersifat tidak bebas seperti simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), maka zakat belum cukup syarat kewajipan bagi penyimpan.
“Zakat hanya difardukan ke atas harta yang suci dan bersih sahaja serta jika cukup syarat-syaratnya. Bagi pendapatan yang diperolehi daripada sumber yang tidak patuh syariah tidak diwajibkan zakat.
“Dengan menyimpan dalam GLIC ia akan mendorong syarikat-syarikat ini melabur dalam pelaburan patuh syariah bagi memenuhi tanggungjawab zakat tersebut,” ujarnya.
Tambah Zaharuddin, sekiranya GLIC mempunyai mandat dan simpanan yang memenuhi syarat-syarat zakat, dengan dana yang sangat besar pasti dapat membantu golongan asnaf secara meluas.
Sementara itu, katanya antara faktor yang mendorong kurangnya kesedaran dalam perkara ini adalah disebabkan wujudnya nilai materialisme masyarakat yang tidak mementingkan status halal dan haram dalam sumber pendapatan mereka.
“Hadis Nabi Muhammad SAW ada menyebut bahawa di akhir zaman, manusia tidak lagi mempedulikan sama ada sumber pendapatannya daripada sumber yang halal atau haram,” tegasnya.
Ujarnya, berpandukan data yang dikeluarkan oleh KWSP pada 2022, dividen yang diagihkan dalam simpanan konvensional adalah pada kadar 5.25 peratus dengan jumlah agihan sebanyak RM45.44 bilion.
“Sedangkan simpanan syariah hanya 4.75 peratus sahaja dengan jumlah agihan sebanyak RM5.70 bilion. Jadi, individu yang mementingkan kadar pulangan yang diterima, mereka memilih simpanan konvensional yang mampu memberi pada kadar tinggi.
“Namun harus diketahui bahawa 73 peratus daripada simpanan konvensional dilaburkan pada sektor yang tidak patuh syariah seperti perbankan konvensional,” tambahnya.
Faktor lain yang boleh menjejaskan kesedaran umat Islam untuk membayar zakat adalah disebabkan status sosioekonomi mereka.
Jelasnya, individu yang berkemampuan dari segi kewangan berkemungkinan lebih menyedari dan bermotivasi untuk memberikannya.
“Mereka yang bergelut dari segi kewangan mungkin tidak menyedari kewajipan mereka atau mungkin lebih sukar untuk memberi,” tambahnya.
Simpanan syariah
Ketua Penganalisis Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, terdapat pelbagai platform perbankan Islam untuk menyimpan dan mendapatkan pulangan yang baik.
Katanya, saham amanah yang patuh syariah juga menawarkan peluang pelaburan dalam pelbagai kelas aset seperti ekuiti dan sukuk.
Bagaimanapun hakikatnya, pertimbangan untuk melabur sama ada dalam skim pelaburan berasaskan syariah atau sebaliknya bukanlah berdasarkan prospek pulangan berbanding skim pelaburan konvensional.
“Ini kerana sebagai umat Islam, kita mahukan hasil pelaburan yang halal. Namun, umat Islam masih boleh membuat perbandingan dalam skim pelaburan berasaskan syariah yang ditawarkan oleh pelbagai pengurus dana yang prestasinya boleh dilihat dan dibuat perbandingan,” katanya.
Mengenai simpanan dalam TH, beliau berkata, umum mengetahui pihak lembaga berkenaan telah pun menyelesaikan zakat para pendepositnya.
“Perkara ini semestinya akan memudahkan para pendeposit kerana mereka boleh terus menggunakan wang tersebut.
“Namun simpanan dalam TH hakikatnya bertujuan menyimpan wang untuk mengerjakan haji, iaitu rukun Islam kelima.
“Justeru, menyimpan wang dalam TH secara idealnya bukanlah bertujuan semata-mata untuk mendapatkan pulangan pelaburan,” katanya.
REAKSI PENDEPOSIT
“Cara TH memberi agihan keuntungan selepas mengambil kira zakat memudahkan urusan saya menunaikan zakat. Pendeposit hanya perlu menunggu agihan keuntungan dikreditkan terus ke dalam akaun.” - Nur Khairunnisa Abdul Khalil, 29, bekerja sendiri (Kedah).
“TH dikenali sebagai institusi kewangan Islam yang utama di negara ini dan pastinya kelebihan menyimpan di TH disebabkan ia satu-satunya simpanan di Malaysia yang menunaikan zakat pendeposit.” - Wati Yusuf, 32, suri rumah (Kuala Lumpur).
“Sebagai pendeposit saya berterima kasih kepada TH yang prihatin dan bertanggungjawab atas kewajipan pendeposit membayar zakat dengan cara memberi keuntungan selepas ditolak zakat.” - Rashidah Mat Ali, 65, suri rumah (Perak).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!