Menteri jangan salahkan media - Johan Jaafar

Johan Jaafar
Johan Jaafar
A
A
A

SHAH ALAM - Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar menzahirkan kekesalan berhubung tuduhan Menteri Perpaduan Nasional, Datuk Aaron Ago Dagang yang menyalahkan media kerana sengaja memainkan isu sensitif, khususnya berkaitan kaum dan agama.

Menurutnya, dakwaan yang dilontarkan menteri berkenaan tidak tepat kerana isu tersebut berpunca daripada ahli politik tidak bertanggungjawab.

“Saya menyeru para menteri agar tidak menyalahkan media apabila keadaan menjadi buruk atau sebaliknya seperti mana yang mereka harapkan.

“Jangan meletakkan kesalahan dan mengecam media bagi mengelakkan diri daripada dipersalahkan kerana ketelanjuran mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, walaupun pengamal menjunjung kebebasan media sebagai tonggak demokrasi, namun mereka pada waktu yang sama memastikan tanggungjawab untuk tidak menyemarakkan ketegangan antara kaum.

“Beliau sepatutnya lebih bertanggungjawab membuat tuduhan tersebut. Saya terkejut beliau memberikan amaran keras agar pengamal media tidak menjadi batu api selain mendesak agar menghentikan perbuatan itu.

“Hakikatnya media Malaysia telah mengamalkan kawalan kendiri dalam menangani isu yang membabitkan soal hubungan kaum di negara ini,” ujarnya.

Sebelum itu, sebuah portal berita berbahasa Inggeris melaporkan Ahli Parlimen Kanowit itu menyalahkan wartawan kerana "sengaja mahu menyalakan api" dalam isu sensitif, terutamanya yang berkaitan dengan kaum dan agama.

Aaron berkata demikian sebagai tindak balas kepada wartawan yang meminta komennya mengenai "Jom Ziarah", sebuah acara di bawah "Artikel Projek 11".

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!