Hakim baharu dengar kes Rosmah ubah wang haram RM7 juta

Rosmah Mansor
Rosmah Mansor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Susulan kenaikan pangkat Hakim Mohamed Zaini Mazlan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya, perbicaraan kes pengubahan wang haram RM7 juta dan gagal menyerahkan penyata pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor, di Mahkamah Tinggi di sini akan didengar oleh hakim baharu iaitu K Muniandy.

Peguam, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara itu disahkan ketika pengurusan kes berkenaan di hadapan Muniandy pada Khamis.

Mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 12 Mei; 28,30 Jun; 6, 7, 28, 31 Julai; 1, 2, 11, 24, 25 Ogos dan 7, 8 September depan.

Bagaimanapun, semasa prosiding, Geethan berkata, perbicaraan pada 27 Julai ini dilapangkan kerana pasukan pembelaan tidak berkelapangan.

“Kami juga ingin memaklumkan, anak guam telah menarik balik permohonan untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram, memandangkan Timbalan Pendakwa Raya Kanan itu telah meninggal dunia pada akhir Januari lalu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn berkata, pendakwaan menjangkakan seramai 13 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!