Anthony nafi kerajaan abai operasi SAR kapal kargo hilang
KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan Anthony Loke menepis dakwaan kononnya kerajaan mengabaikan misi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah kapal kargo berdaftar di Malaysia, MV Dai Cat 06, yang dilaporkan hilang sejak Januari lepas.
Beliau berkata, agensi-agensi keselamatan negara sememangnya berusaha bersungguh-sungguh dalam operasi SAR itu.
"Tidak timbul isu mengenai kos dalam operasi SAR itu (kerana) ini nyawa manusia. Kita bukan melihat kepada kos tersebut.
"Namun dari segi faktanya di mana kapal itu hilang, ia berada di perairan Indonesia, jadi untuk mencari dan menyelamat, di bawah pihak berkuasa Indonesia,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) mengenai kesungguhan kerajaan dalam mencari kapal itu pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.
Anthony berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Laut Malaysia untuk memantau secara serius dan memastikan misi SAR mencari kapal itu diteruskan bersama pihak berkuasa Indonesia.
"Sudah tentu Wisma Putra ada berhubung dengan pihak berkuasa di Indonesia. Tambahan pula, dari segi operasi SAR adalah di bawah bidang kuasa APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia), manakala Jabatan Laut sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan APMM untuk memastikan operasi itu akan dapat diteruskan,” katanya.Anthony berkata, berdasarkan rekod pergerakan kapal yang dipantau Jabatan Laut menerusi sistem pengenalan automatik (AIS), MV Dai Cat 06 direkodkan belayar keluar daripada Lumut pada 23 Disember 2022 dan berlabuh di perairan Sungai Besar pada 26 hingga 28 Disember 2022 untuk penyelengaraan sistem enjin utama dan sauh.
Kapal tersebut juga dikesan telah menutup sistem AIS pada 25 Disember dan pada 29 hingga 30 Disember tahun lepas.
Menurutnya posisi terakhir kapal itu dikesan melalui pemantauan AIS adalah pada 1 Januari lepas, iaitu di sektor 9 skim pemisahan lalu lintas di sekitar Pulau Mungging, Johor.
"Bagaimanapun, kedudukan terakhir yang diterima melalui isyarat kecemasan suar radio penunjuk kedudukan kecemasan (EPIRB) daripada APMM, dikesan di perairan Indonesia,” katanya.
Pada 9 Januari lepas, kapal kargo yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian berkenaan dibuat ejen kapal tersebut pada hari sama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!