Damok sedia gegar Portugal
PELUMBA Moto3 negara, Syarifuddin Azman menjanjikan aksi terbaik dalam penampilan pertamanya di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini, bermula di Grand Prix (GP) Portugal di Litar Antarabangsa Algrave, Portimao, selatan Portugal pada Jumaat.
Pelumba MT Helmets-MSL berusia 21 tahun yang lebih dikenali sebagai Damok itu berkata, persiapan rapi telah dibuat melalui latihan pra musim yang padat bagi mendapat persiapan fizikal secukupnya.
"Saya sudah bersiap sedia untuk perlumbaan pertama saya di Portimao. Saya teruja dan tidak sabar untuk berlumba selepas berada di sini selama tiga hari untuk ujian rasmi tempoh hari.
"Daripada segi pasukan, banyak perubahan dan penambahbaikkan yang kita lakukan sewaktu ujian tertutup di Jerez dan ujian rasmi di Portimao bagi memantapkan jentera dan keserasian diri saya bersama jentera baru saya.
"Saya bersedia dan akan memberikan yang terbaik di dalam perlumbaan pertama ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Saingan pembuka tirai kempen 2023 di litar berkenaan bermula Jumaat ini sebelum saingan beralih ke pusingan kedua di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina, 31 Mac hingga 2 April.
Damok membuat penampilan sulungnya dalam Moto3 sebagai pelumba wildcard pada GP Aragon 2021, membuat empat lagi penyertaan wildcard tahun lalu, iaitu di GP Portugal, Sepanyol, Catalunya dan Malaysia.
Kempen 2023 menyaksikan sebanyak 21 pusingan perlumbaan berlangsung dengan Malaysia menjadi venue bagi pusingan ke-19 dari 10 hingga 12 November ini.
Dalam pada itu, seorang lagi wakil negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril yang akan berlumba dalam saingan Red Bull Rookies Cup tekad menghasilkan pencapaian lebih baik berbanding musim lalu.
"Persiapan saya pada perlumbaan ini telah dijalankan sewaktu ujian rasmi minggu lepas. Latihan juga selalu saya jalankan bersama jurulatih saya sewaktu pra musim dan juga selepas ujian rasmi.
"Saya rasa persiapan mental dan fizikal saya amat kuat dan saya bersedia menghadapi perlumbaan pertama ini. Saya akan cuba untuk bersaing di kelompok hadapan dan mendapatkan podium dan mata sebanyak yang mungkin," katanya.
Danial Syahmi bakal melengkapkan tahun kedua dalam saingan ini setelah berjaya menamatkan kejuaraan ini tahun lalu di tempat ke-13 keseluruhan dengan kutipan 49 mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!