HIMP 2030 usaha percepat pengeluaran sijil halal
KUALA LUMPUR - Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) turut merangkumi usaha kerajaan mempercepatkan proses kelulusan dan pengeluaran sijil halal yang kini mengambil masa sehingga sembilan bulan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, acuan baharu bagi usaha tersebut perlu dilaksanakan tanpa berkompromi tentang kualiti dan piawaian pengeluaran sijil halal.
Menurutnya, langkah-langkah bagi mengatasi isu birokrasi yang melewatkan proses berkenaan juga dilaksanakan tanpa menafikan peranan yang Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan kuasa-kuasa kerajaan negeri.
"Kita telah ambil keputusan agar satu acuan baru mesti dilakukan tanpa berkompromi tentang kualiti dan piawaian bagi pengeluaran sijil halal kerana terdapat beberapa kekangan daripada segi waktu bagi pengeluaran sijil halal.
"Terdapat lebih 200,000 syarikat-syarikat halal, tapi ada kekangan untuk memperoleh sijil halal. Oleh sebab itu langkah-langkah dilakukan termasuk pada hari ini (melancarkan HIMP 2030).
"Daripada segi saintifik, Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan bantu.
"Kita mahu proses mempercepatkan itu tidak terhalang disebabkan oleh soal minda dan sikap termasuk kekangan birokrasi diselesaikan segera tapi tetap mematuhi syarat-syarat," katanya pada Sidang Media Pelancaran HIMP 2030 di Bangunan Parlimen pada Khamis.
Beliau menegaskan, HIMP 2030 merangka hala tuju lebih besar iaitu bagaimana industri halal mempunyai potensi pasaran yang besar, bukan hanya tempatan, tapi antarabangsa disebabkan ia tidak terhad kepada industri makanan sahaja.
Justeru, beliau mahu pemain-pemain industri mengambil peluang pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) untuk mengembangkan potensi pasaran produk halal mereka.
"Saya telah minta MIHAS yang akan diadakan pada 15 September depan melibatkan semua pengeluar produk, pemain-pemain industri yang lebih penting mesti melakukan padanan perniagaan bersama rakan-rakan perkongsian pintar di luar negara agar produk-produk dapat dieksport ke pasaran lebih besar melalui gerakan perkongsian perniagaan halal di luar negara.
"Penyusunan HIMP 2030 adalah tepat pada masanya kerana kita berusaha untuk memanfaatkan secara strategik permintaan global yang semakin meningkat untuk produk dan perkhidmatan halal, serta mengukuhkan peranan kepimpinan Malaysia dengan memanfaatkan kami yang diiktiraf dunia,"katanya.
HIMP 2030 bertemakan 'Prominent, Visible and Globalised Halal Malaysia' dengan objektif utama memangkin pertumbuhan inklusif dan menyeluruh industri halal Malaysia, dan menambah baik ekosistem industri halal dinamik negara untuk menyokong pertumbuhan masa depan kemakmuran sosio ekonomi Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!