Hubungan kerajaan Persekutuan, Johor bertambah baik

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

SHAH ALAM - Hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Johor disifatkan bertambah baik, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut menyifatkan kerjasama antara kedua-duanya lebih baik berbanding mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

“Kami (Sultan Johor dan Anwar) kerap bertukar pandangan, sama ada dalam mesyuarat atau melalui panggilan telefon.

"Berunding antara satu sama lain dan bertukar-tukar idea bagaimana kami boleh membangunkan negeri ini dengan lebih baik,” titah baginda sebagaimana dilaporkan The Star.

Sultan Ibrahim turut berbesar hati apabila cadangan baginda telah diberi perhatian sewajarnya.

Baginda pernah mengkritik kerajaan Persekutuan sebelum ini, termasuk mengatakan Johor dilayan seperti anak tiri dan menyuarakan kekecewaan terhadap janji dan peruntukan dana kerajaan Persekutuan yang tidak ditunaikan.

Sementara itu, ditanya tentang jangkaannya terhadap kerajaan, baginda menggesa pemimpin untuk membersihkan sistem kerajaan.

"Ubah. Bersihkan seluruh sistem dan bersihkan yang rasuah, tidak kira siapa mereka. Tidak kira mereka mencecah 100 (tahun) atau tidak mencapai 100. Tiada alasan.

“Jika Najib (Datuk Seri Najib Razak) boleh dimasukkan ke dalam penjara, bagaimana dengan orang lain?” tegas baginda.

Sultan Ibrahim turut menggesa Anwar dan agensi lain yang berkaitan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Reputasi Malaysia telah terjejas kerana rasuah. Kita perlu menyingkirkan kanser ini,” titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!