1,000 bungkus bubur lambuk raikan perantau pulang Ramadan
KOTA BHARU - Perdana Kota Bharu mengagihkan 1,000 bungkus bubur lambuk bagi meraikan perantau yang pulang menyambut Ramadan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini pada Khamis.
Hidangan tradisi itu dimasak secara rewang oleh kakitangan hotel bagi memeriahkan sambutan hari pertama bulan mulia tersebut.
Pengurus Besarnya, Mohd Iqmal Muslim berkata, agihan itu bertujuan mengalu-alukan kepulangan perantau dari seluruh negara yang pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan.
"Pada masa yang sama menghargai jasa serta pengorbanan kakitangan penerbangan yang bertugas pada bulan yang penuh ujian ini.
"Ia merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan sempena kempen SayangEarth oleh Attana Hotels & Resorts Sdn Bhd," katanya semasa sidang akhbar.
Menurut beliau, ini merupakan program pertama yang diadakan di lapangan terbang.
Ujar Mohd Iqmal, pihaknya berterima kasih kepada Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB), semua syarikat penerbangan dan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) kerana menjayakan program tersebut.
Sementara itu, perantau yang ditemui, Adham Din, 39, berkata, setiap tahun dia tidak akan melepaskan peluang pulang menyambut Ramadan bersama keluarga di kampung.
"Walaupun ibu bapa kami sudah tiada, tetapi ia sudah menjadi rutin kami lima beradik untuk berkumpul beramai-ramai.
"Selain itu untuk merasa juadah wajib setiap kali berbuka puasa seperti akok, ayam percik, sup keting, lemak bakar dan sebagainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!