Siti Nurhaliza nak anjur konsert lagu raya?
KUALA LUMPUR - Bukan sahaja di corong radio, malah lagu raya dendangan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sentiasa menjadi pilihan rakyat Malaysia.
Tidak kira di pusat beli belah, kedai-kedai, sehingga ke bazar raya, lagunya pasti akan diputarkan untuk menaikkan lagi 'vibe' musim Aidilfitri.
Punya lebih 10 lagu raya, pelantun lagu Air Mata Syawal ini menyatakan tidak mustahil untuk beliau menganjurkan konsert khas dan menyanyikan lagu-lagu raya sahaja apabila dicadangkan oleh rakan media.
“Bagus juga cadangan itu. Kalau nanti kami dah buntu, kita buat konsert lagu raya.
"Saya bukan apa, tahu saya pernah cakap dekat Kak Zi (pengurus), Siti nak buat satu konsert nak cover lagu orang sahaja.
“Jadi dah ada tiga cadangan konsert lagu cover, lagu raya, dan lagu kempen,” guraunya selepas sidang media Konsert Satu Suara Vol.3 pada Selasa.
Konsert yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza di Kuala Lumpur pada 13 Mei 2023 itu menggabungkan Siti Nurhaliza bersama dengan penyanyi Jay Jay dan juga pelantun lagu Boneka, Ernie Zakri.
Pelantun lagu Biarlah Rahsia itu juga memaklumkan hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan, seperti yang dilakukannya ketika konsert Music of the Soul baru-baru ini.
Sebelum ini, menerusi siri konsert yang sama, Siti Nurhaliza pernah bersama Aizat Amdan dan Faizal Tahir untuk Konsert Satu Suara, dan seterusnya bersama Hetty Koes Endang serta Datuk Ramli Sarip untuk Konsert Satu Suara Vol 2.
Peminat boleh mendapatkan tiket di Myticket.Asia yang sudah mula dijual pada jam 6 petang Selasa dengan harga bermula RM288 sehingga RM588.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!