Pencapaian Kementerian Sumber Manusia beri impak positif kepada negara
PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia mengakui berhadapan dengan cabaran besar sepanjang hampir setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Menterinya, M Kula Segaran berkata, walaupun terpaksa menempuh cabaran masih terdapat kejayaan yang memberi impak kepada negara khususnya kementeriannya dalam aspek amalan integriti bebas rasuah dan penguatkuasaan undang-undang.
Menurutnya, selepas dilantik menjadi menteri, dua peranan itu adalah janji yang sentiasa diterapkan malah masih berjalan sehingga hari ini.
“Saya anggap itu antara janji dan pencapaian terbesar saya sebagai menteri selain menyelesaikan isu-isu rakyat.
“Kami dalam usaha membuat dua pelan baharu di mana menetapkan lebih ramai pegawai biasa dalam penguatkuasaan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.Selain itu, Kula Segaran berkata, pihaknya turut mengkaji mekanisme baharu yang membolehkan setiap syarikat menyediakan laporan audit pematuhan sosial.
Jelasnya, mekanisme itu memberi peluang majikan menyediakan laporan seperti maklumat pembayaran gaji pekerja, tempoh cuti yang diberikan kepada pekerja dan sebagainya kepada kementerian untuk tindakan selanjutnya.
“Selain itu kami turut menyediakan portal bersama sebuah kolej untuk memadankan tawaran pekerjaan supaya mereka mendapat pekerjaan.
“Kementerian komited melakukan kajian bagaimana untuk membawa kembali golongan berumur 60 tahun ke atas bekerja selain memastikan rakyat Malaysia diberi keutamaaan mendapat pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak namun mengutamakan rakyat Malaysia untuk mendapat pekerjaan pertama.
Jelasnya lagi, usaha itu sebagai menjamin kualiti hidup dan meningkatkan produktiviti negara sepanjang masa.
Ditanya sama ada kepimpinan PH hari ini bakal menjadi kerajaan sepenggal atau tidak, secara bersahaja beliau menegaskan biarlah apa sahaja tohmahan mereka (pembangkang).
“Kepimpinan PH melaksanakan tugas dan amanah rakyat.
“Mana ada kerajaan yang terbuka berbanding dahulu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!