Lindungi peniaga, pengunjung bazar Ramadan
SHAH ALAM - Baru hari pertama umat Islam menyambut bulan Ramadan pada tahun ini, berlaku pula insiden yang tidak diingini di beberapa lokasi di Pekan Jitra, Alor Setar dan kawasan berhampiran pada Khamis.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, insiden itu melibatkan hujan dan ribut kencang yang berlaku pada jam 3 petang sehingga menumbangkan pokok dan khemah diterbangkan di lokasi berkenaan.
Ujar Mohd Adenin, kejadian berkenaan mengakibatkan beberapa khemah bazar Aidilfitri terjejas dan sejumlah khemah gerai buah-buahan telah diterbangkan angin kencang ke jalan raya mengakibatkan laluan terhalang.
Insiden tersebut pastinya memberi trauma dan menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai yang ingin berkunjung ke Bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka puasa.
Pada Ahad, Pakar Klimatologi, Dr Fredolin Tajudin Tangang berpandangan bahawa kebarangkalian yang tinggi untuk berlakunya ribut petir pada waktu petang dan lewat petang pastinya akan mengganggu aktiviti penjualan makanan dan minuman semasa bulan puasa.
Menurut beliau, bulan Ramadan bermula pada minggu terakhir Mac dan berkemungkinan akan memasuki musim peralihan monsun.
Ujarnya, musim peralihan monsun biasanya berlaku pada bulan April dan Mei.
Jelasnya, curahan hujan tinggi di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia yang disebabkan oleh ribut petir sering berlaku pada petang dan lewat petang hingga ke malam.
Dalam pada itu, Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Chung Jing Xiang berkata, cuaca hujan diramalkan akan kerap berlaku pada waktu sebelah petang.
Ulasnya, orang ramai yang ingin mengunjungi bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka puasa dinasihatkan supaya menyediakan payung sebelum keluar sebagai langkah berjaga-jaga.
Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu sentiasa memantau ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Namun begitu, pendekatan itu sahaja dibimbangi tidak mencukupi dalam usaha membantu para peniaga di bazar Ramadan.
Tindakan dari kerajaan juga memainkan peranan penting dalam melindungi orang ramai khususnya para peniaga dan pengunjung di kawasan berkenaan.
Kerajaan sewajarnya memastikan insiden yang berlaku di beberapa lokasi di Pekan Jitra, Alor Setar itu tidak berulang di kawasan bazar Ramadan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!