Pelbagai juadah di Iftar ala Madinah @Karangkraf
SHAH ALAM - Program Iftar ala Madinah @Karangkraf menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan umat Islam sepanjang Ramadan bagi menikmati suasana berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, selepas mendapat sambutan begitu menggalakkan sebelum ini, program yang bermula pada 24 Mac hingga 18 April ini bakal lebih meriah dengan jangkaan kehadiran seramai 1,000 pengunjung setiap hari.
Menurut Nik Justin, istimewanya program kali ini, pihaknya akan turut menjemput golongan asnaf, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) untuk berbuka puasa di Dataran Karangkraf, Shah Alam.
“Inisiatif pelaksanaan program ini bertujuan membantu golongan memerlukan, di samping memberi kegembiraan kepada lebih ramai individu di bulan yang mulia ini.
“Dengan berbuka puasa di sini secara percuma, sedikit sebanyak mereka dapat berjimat dan seterusnya menyimpan wang untuk persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Saya mengundang penduduk berdekatan termasuk mahasiswa untuk berbuka puasa beramai-ramai selain menikmati pengalaman seperti suasana berbuka di Madinah,” katanya pada Khamis.
Ujar Nik Justin, selain ruang untuk keluarga, pihaknya turut menyediakan kemudahan yang memenuhi keperluan golongan warga emas dan OKU.
“Dengan mengambil kira pelbagai faktor, kita telah menambah satu lagi ruang khas buat warga emas dan OKU dengan menyediakan meja dan kerusi supaya mereka dapat berbuka puasa dengan lebih selesa,” jelasnya.
Tambahnya, kepelbagaian juadah dan aktiviti merangkumi semua peringkat umur yang disediakan akan memberi kelainan sekali gus menarik lebih ramai pengunjung.
Nik Justin memberitahu, antara aktiviti menarik yang akan dijalankan sepanjang program berlangsung termasuk projek baju raya dan peraduan teka buah kurma.
“Orang ramai boleh menyumbang baju-baju raya yang lama tetapi masih dalam keadaan baik untuk kami dermakan kepada golongan memerlukan. Setiap sumbangan akan diberikan satu baucar tunai daripada Grup Buku Karangkraf.
“Peraduan teka kurma pula hanya terbuka untuk pengunjung, mereka berpeluang menerima duit raya tunai sekiranya berjaya meneka jumlah buah kurma yang disediakan.
“Segala aktiviti akan bermula jam 6 petang, diikuti pengisian tazkirah sementara menunggu waktu berbuka yang akan disampaikan oleh ustaz daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan ustaz jemputan,” katanya.
Selain itu ujarnya, program akan turut dimeriahkan dengan penampilan khas selebriti dan tokoh agamawan tanah air antaranya, Datuk Jalaluddin Hassan, Marsha Milan Londoh, Nabil Ahmad, maskot program animasi Little Ammar serta Mila dan Mina termasuk pendakwah bebas, Don Daniyal Don Biyajid.
Individu yang mahu menyertai Iftar Ala Madinah@Karangkraf boleh mengesahkan kehadiran di pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScXgaP2G9Wpz0KwZKoMisnYuJ6ImFz5wrfff8sAvjImNKxhxQ/viewform.
Bagi pihak yang ingin turut serta memberi infak makanan, barangan atau wang tunai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Sinar Karangkraf Sdn Bhd 564276 529068 (Maybank) atau melalui pautan https://info.sinarharian.com.my/tabung-infak-iftar-karangkraf/.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!