Elakkan pembaziran pada bulan Ramadan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

HARI ini adalah hari kedua umat Islam berpuasa. Jika diperhatikan pada hari pertama semalam, pastinya tumpuan umat Islam adalah di bazar Ramadan bagi membeli juadah dan lauk-pauk untuk berbuka.

Saban tahun bazar Ramadan sentiasa dipenuhi pengunjung yang mahu memenuhi selera masing-masing. Hingga ada yang berbelanja sampai tak ingat dunia dan berlandaskan nafsu semata-mata. Akhirnya duit habis dan makanan yang dibeli pun dibazirkan.

SWCorp mendedahkan pada Ramadan tahun lalu, kutipan sisa domestik di negara ini meningkat kepada 40,000 tan metrik.

Pada tahun 2022, satu kajian yang dilakukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menunjukkan bahawa sebanyak 76 peratus sampah yang dikutip merangkumi sisa makanan yang tidak dapat dielakkan dan tidak boleh dimakan oleh manusia seperti sisa tulang, kulit buah-buahan dan sayuran

Pada Ramadan tahun ini, dijangka memperlihatkan rekod yang lebih tinggi jika tiada sebarang usaha untuk mengurangkan pembaziran dalam kalangan pengguna.

Anggaran ini adalah sekitar lebih 75,000 tan metrik sisa makanan berpotensi dijana rakyat negara. Berdasarkan kajian, secara purata dalam sehari terdapat penghasilan 38,000 tan sisa dan didapati 44 peratus daripadanya adalah sisa makanan di Malaysia.

Malah peningkatan sisa juga tidak hanya berlaku ketika Ramadan, tetapi semasa musim perayaan juga kutipan sisa ini meningkat sehingga 20 peratus.

Satu angka yang cukup menyedihkan dalam aspek pembaziran makanan. Apatah lagi dalam situasi saban tahun harga juadah dan makanan di bazar Ramadan meningkat, namun masih ada umat Islam yang merajakan hawa nafsu semata-mata.

Allah berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”

Pembaziran akan mencacatkan keberkatan bulan Ramadan. Tidak kiralah sama ada pembaziran itu melibatkan makanan, duit, tenaga, amalan, atau pun kesihatan tubuh badan.

Apa yang dibazirkan itu mempunyai bahagian untuk orang lain yang boleh diinfakkan dan dimanfaatkan bagi memperoleh ganjaran pahala.

Kawal diri supaya sederhana dalam berbelanja dan tidak berlebih-lebihan mengikut nafsu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!