Jurufoto tawar upah rakam gambar raya harga Rahmah
JEMPOL - Seorang jurufoto di sini tampil menawarkan upah rakaman gambar raya pada harga rahmah serendah RM30.
Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, 32, berkata, dia peka dengan keadaan ekonomi semasa selain mengakui ramai yang terkesan, namun tidak menolak rata-ratanya ingin merakam momen indah dan diabadikan dalam bentuk foto.
"Sedia maklum kos sara hidup ketika ini semakin tinggi dan ia turut memberi kesan terhadap banyak industri, termasuklah bidang ini (fotografi). Harga upah sahaja boleh cecah ratusan ringgit.
"Studio foto pun harganya boleh tahan, jadi saya ambil inisiatif ini (tawar upah murah) namun menggunakan kaedah rakaman di luar bukannya studio, tidak menggunakan prop," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas lanjut, Nurulazma berkata, harga yang ditawarkan itu adalah upah sahaja dengan menggunakan kamera Digital Single Lens Reflex (DSLR).
"Lokasi rakaman pula adalah kawasan tarikan pelancong, jadinya sambil orang datang untuk ambil gambar sambil kita promosikan lokasi tarikan pelancong di Jempol antaranya Teratak Zaba dan Pintu Gerbang Homestay Lonek serta kawasan sawah berhampirannya," katanya.
Jelasnya lagi, harga berkenaan bukanlah bertujuan untuk 'membunuh' harga pasaran sebaliknya ia berpadanan berikutan ia merupakan harga upah semata-mata tanpa suntingan.
"Tambahan pula tawaran ini terhad pada musim perayaan sahaja kalau hari lain kita ada pakej berbeza antara RM50 hingga RM90 dan boleh mencecah ribuan ringgit mengikut kesesuaian majlis sama ada formal atau tidak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!