Tak usah pertikai 12 kad merah
TINDAKAN pengadil melayangkan keseluruhan 12 kad merah kepada pemain dan jurulatih sepanjang lima perlawanan awal saingan Liga Super dan pusingan pertama Piala FA tidak seharusnya dipertikaikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya berpuas hati dengan setiap keputusan yang dibuat pengadil melayangkan kesemua kad merah itu yang dianggap satu tindakan tepat.
“Dulu, kita selalu kata pengadil tidak ambil tindakan yang tegas. Sekarang apabila pengadil ambil tindakan tegas, ia juga dianggap salah.
“Di pihak MFL, saya tidak lihat mana-mana kad merah yang dikeluarkan adalah kad merah yang salah. Itu tidak menjadi isu setakat ini,” katanya baru-baru ini.
Sebagai rekod, saingan Liga Super setakat minggu kelima 'dimeriahkan' layangan kad merah dengan sembilan kad 'dihadiahkan' kepada pemain dan dua kepada jurulatih.
Dua jurulatih terbabit adalah pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain dan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.
Perak FC pula mendominasi 'anugerah' kad merah selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super dan satu aksi Piala FA setakat ini.
Skuad The Bos Gaurus itu mengumpul empat kad merah dalam tiga daripada enam perlawanan diharungi itu dan lebih malang, semua kad merah itu diraih di depan penyokong sendiri di Stadium Perak di Ipoh.
Mengulas lanjut, Stuart memuji ketegasan yang dipamerkan pengadil perlawanan untuk mengawal suasana tegang di atas padang.
Menurut Stuart, ia tugas pengadil yang tidak seharusnya dipersoalkan selain beliau percaya ia akan memastikan setiap pemain dan jurulatih lebih berwaspada dalam setiap tindakan di atas padang.
“Kalau kita ambil pendekatan sebab apa kad merah itu dilayangkan, kita tidak boleh salahkan pengadil kerana pengadil adalah juri di atas padang untuk memastikan apa-apa tindakan yang perlu diambil.
“Jika ada pemain atau jurulatih menjangkakan pengadil tidak akan mengambil tindakan jika mereka menggunakan perkataan kesat atau kritikan yang keterlaluan, mereka silap kerana pengadil boleh ambil tindakan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!