'Zuraidi sudah ada selera makan'
KOTA BHARU - Keadaan pesakit kanser lidah, Zuraidi Mohamad, 43, kini semakin baik selepas menjalani kemoterapi dan radioterapi di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Bertam, Pulau Pinang.
Isterinya, Wan Roslina Wan Hamat, 43, berkata, berat badan suaminya kini mencapai 50 kilogram dan selera makan juga bertambah.
Wan Roslina berkata, setiap hari dia perlu mengisar dan menapis makanan sehingga benar-benar halus kerana suaminya masih tidak dapat mengunyah.
"Alhamdulillah, kami lihat keadaan lidahnya juga semakin baik dan nampak kemerah-merahan berbanding sebelum ini yang dipenuhi ulser," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambahnya, Zuraidi juga menyukai buah-buahan seperti epal dan limau tetapi perlu dikisar selain pengambilan susu setiap dua jam sekali.
Ibu kepada tiga anak berusia 5 hingga 15 tahun itu memberitahu, Zuraidi memerlukan RM3,000 seminggu untuk rawatan radioterapi dan kemoterapi.
"Dia kini masih berbaki empat kemoterapi manakala radioterapi pula setiap hari sehingga 20 April depan," katanya.
Zuraidi dan Wan Roslina kini terpaksa menyewa rumah tumpangan untuk meneruskan perubatan suaminya selama tiga bulan di pusat perubatan itu dengan kos ditanggung keluarga dan sumbangan orang ramai.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Zuraidi, pemilik bengkel memasang cermin menghidap ulser berterusan yang menjadi petanda kanser lidah tahap empat yang menyebabkannya tidak mampu bercakap
Wan Roslina berkata, kos keseluruhan perubatan sebanyak RM50,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!