Kontinjen Pusat Tamhidi USIM sambar slot enam terbaik

Kontinjen Pusat Tamhidi capai sasaran pingat di Sukan Asasi Malaysia yang berlangsung di Pusat Asasi UIAM Gambang, Pahang baru-baru ini.
Kontinjen Pusat Tamhidi capai sasaran pingat di Sukan Asasi Malaysia yang berlangsung di Pusat Asasi UIAM Gambang, Pahang baru-baru ini.
A
A
A

KONTINJEN Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai melabuh cabaran dalam kelompok enam terbaik pada Sukan Asasi Malaysia (SAM) 2023 yang berlangsung di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang, Pahang baru- baru ini.

Kontinjen diperkuatkan 118 atlet dan 22 pegawai pengiring, meraih satu pingat emas dan dua pingat gangsa dari sembilan acara disertai antaranya futsal, bola jaring, bola tampar, badminton, e-sport dan olahraga.

Sebagai rekod status enam terbaik itu dalam kalangan 14 kontinjen pusat asasi dan matrikulasi yang menyertai SAM edisi kelima pada kali ini.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Tamhidi, Aiza Azrin Mohd Zain berkata, acara olahraga menepati sasaran awal untuk menyumbang pingat emas kepada USIM.

“Alhamdulillah, syukur dengan pencapaian kontinjen Pusat Tamhidi USIM dalam kejohanan kali ini dengan membawa pulang tiga pingat.

"Kita raih emas tunggal dalam acara larian 1,500 meter lelaki manakala dua pingat gangsa diraih melalui acara bola jaring dan ping-pong.

Ahmad Azhar (tengah) bawa pingat emas buat USIM dalam acara larian 1,500 meter di Sukan Asasi Malaysia.
Ahmad Azhar (tengah) bawa pingat emas buat USIM dalam acara larian 1,500 meter di Sukan Asasi Malaysia.



“Terima kasih kepada pengurusan universiti, Pusat Tamhidi, Pusat Sukan dan semua pihak yang terlibat dalam mempersiapkan atlet kita.

"Melalui kejohanan ini, Pusat Tamhidi secara langsung membantu universiti mengenal pasti bakat-bakat muda atau ‘ubi muda’ lebih awal untuk digilap dan seterusnya berpotensi diserap sebagai atlet utama Universiti,” katanya.

Dalam pada itu, penyumbang pingat emas untuk USIM, Ahmad Azhar Ramli, 18, pelajar dari program Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi menyatakan kehadiran ibu dan kakak yang datang dari jauh dari Johor ke Gambang, Pahang menjadi pembakar semangat kepadanya untuk membuat larian bertenaga di peringkat akhir.

Pasukan bola jaring USIM menyumbangkan pingat gangsa di Sukan Asasi Malaysia.
Pasukan bola jaring USIM menyumbangkan pingat gangsa di Sukan Asasi Malaysia.

Mencatat masa 4 minit 50 saat, Azhar menewaskan pelari dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapat pingat perak dan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang merangkul pingat gangsa.

Menjadi wadah untuk membentuk interaksi dan kerjasama dalam kalangan pelajar asasi universiti awam dan matrikulasi, perasmian penutup disempurnakan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

Tuan rumah, UIAM dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan pungutan 14 pingat emas, empat perak dan dua gangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!