Kane dalam kelas tersendiri
PENYERANG sensasi, Harry Kane melalui detik paling manis dalam kariernya apabila menjadi penyaring terbanyak sepanjang zaman bersama England.
Gol peribadi ke-54 tersebut dilakar ketika kapten England itu membantu skuad negaranya menewaskan Itali 2-1 dalam aksi pembukaan saingan Euro 2024.
Jaringan yang membawa makna besar itu mengatasi nota gol Wayne Rooney yang menyumbat 53 gol.
"Ia amat bermakna. Saya sangat teruja menyarung jersi England dan kembali beraksi dalam saingan Euro," ujar Kane.
Pasukan bimbingan Gareth Southgate itu membuka tirai jaringan melalui Declan Rice sebelum Kane meledak jaringan pada minit ke-44 menerusi sepakan penalti.
Gol Itali pula dihasilkan oleh Mateo Retegui 10 minit selepas rehat.
Kane yang juga penyerang Tottenham Hotspur terikat 53 jaringan dengan Rooney selepas gagal menyempurnakan penalti ketika aksi suku akhir Piala Dunia 2022 menentang Perancis di Qatar Disember lalu.
Kali ini Kane enggan melepaskan peluang keemasan di Stadio Diego Armando Maradona itu selepas bola terkena tangan Giovanni Di Lorenzo hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Dalam pada itu, Southgate lega dengan kemenangan tersebut kerana ia petanda positif buat England.
"England perlu bermula dengan menumpaskan pasukan gergasi jika mereka mahu menamatkan kemarau kejuaraan kejohanan utama selama enam dekad," katanya.
Menang ke atas Itali di tempat lawan buat kali pertama sejak 1961 sesuatu yang membanggakan kem England.
Kekalahan itu adalah keputusan yang mengecewakan buat skuad Roberto Mancini kerana Azzurri terlepas peluang untuk memberikan England satu lagi kekecewaan selepas memenangi Euro 2020.
"Kami mungkin bermula dengan langkah yang salah tetapi kami berharap ia akan melalui perjalanan lebih lancar," ujar Mancini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!