Sanggup datang dari jauh ambil beras percuma

Hantaran di laman Facebook mengenai agihan beras percuma yang mendapat lebih 100 perkongsian.
Hantaran di laman Facebook mengenai agihan beras percuma yang mendapat lebih 100 perkongsian.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Prihatin dengan kenaikan harga barangan, seorang peniaga di Kampung Gong Tok Nasek, di sini mengambil inisiatif mengumpulkan wang bersama ahli keluarganya untuk mengagihkan 500 kampit beras percuma kepada golongan memerlukan.

Pengurus Gemilang Speed Mart, Siti Fatimah Mohamed Farook berkata, sebanyak 350 kampit beras seberat lima kilogram setiap satu telah diagih pada hari pertama Ramadan.

"Kami menerima banyak maklum balas selepas memuat naik status (hantaran) mengenai agihan beras percuma di laman Facebook semalam (Khamis).

"Ramai yang datang ke kedai untuk ambil beras. Mereka yang datang bukan sahaja dari Kuala Terengganu, paling jauh yang datang dari daerah lain seperti Kuala Berang dan Setiu. Malam tadi pun tiga, empat orang yang datang untuk ambil beras," katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Pembekal barangan runcit dan borong itu berkata, antara yang datang ke kedainya untuk mengambil beras percuma ialah seorang lelaki yang mengalami strok.

"Saya tersentuh apabila seorang pak cik datang beritahu mahukan beras. Tak sangka idea untuk agih beras percuma secara kecil-kecilan bersama tujuh lagi adik-beradik mendapat sambutan hangat. Setakat ini status itu telah mendapat lebih 100 perkongsian.

"Pelbagai latar belakang yang datang untuk ambil beras yang diberikan secara percuma. Ada juga yang dari madrasah-madrasah. Sebenarnya memang ramai lagi yang susah dan terpaksa berjuang untuk berdepan dengan kenaikan harga barang," ujarnya.

Peniaga itu memberitahu, kenaikan harga beras terutama menjelang Ramadan memberikan kesan bukan sahaja kepada pelanggan malah kepada peniaga sepertinya.

"Harga beras yang kita ambil dari ejen terutamanya beras Jati naik RM1.20 bagi yang kampit 10kg dan 80 sen hingga RM1 bagi yang 5kg. Pernah juga berlaku dua kali kenaikan harga dalam sebulan terutama menjelang puasa," katanya yang telah berniaga sejak 20 tahun lalu.

Siti Fatimah berkata, selain beras, dia dan keluarganya juga berhasrat untuk mengagihkan set barangan keperluan dapur kepada golongan memerlukan.

"Setiap kali Ramadan biasanya saya dan keluarga akan bincang untuk ambil inisiatif bantuan untuk berikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

"Macam tahun lepas saya agihkan kuih donut untuk pelanggan. Insya-ALLAH tahun ni saya agihkan beras dan pada 10 Ramadan nanti kita akan agihkan pula pek barangan keperluan dapur.

"Saya sebenarnya dah lama berniat untuk buat ni. Saya ambil masa lima bulan kumpul duit hasil dari sumbangan pelanggan dan saya tambah duit dari kedai saya untuk hasilkan pek bantuan yang akan diagih kepada orang susah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!