Gol ke-800 sensasi Messi

Messi bersama rakan sepasukan dan keluarga meraikan kejayaan merangkul Piala Dunia selepas aksi persahabatan menentang Panama awal pagi Jumaat. - Foto AFP
Messi bersama rakan sepasukan dan keluarga meraikan kejayaan merangkul Piala Dunia selepas aksi persahabatan menentang Panama awal pagi Jumaat. - Foto AFP
A
A
A

BINTANG sensasi, Lionel Messi seakan tiada tandingan apabila meraikan gol ke-800 dalam perjalanan karier bola sepaknya semasa membantu Argentina menewaskan Panama 2-0 di Buenos Aires awal pagi Jumaat.

Kapten Argentina itu menyumbat gol kemenangan pada penghujung perlawanan selepas pemain muda, Thiago Almada merakam gol pertama bersama skuad kebangsaan daripada tiga aksi.

Terdahulu sebelum sepak mula Stadium Monumental diserikan dengan nyalaan bunga api sambil disaksikan 83,000 penonton sekali gus mencetuskan suasana penuh gemilang.

Sejurus tamat perlawanan, Messi, jurulatih, Lionel Scaloni dan beberapa pemain masuk ke padang bersama anak masing-masing.

Suasana emosi menyelubungi stadium apabila ramai dalam kalangan penonton serta pemain menangis ketika lagu kebangsaan Argentina, Muchachos dinyanyikan selepas kejayaan kempen Piala Dunia di Qatar.

“Saya sentiasa mengimpikan saat seperti ini dapat meraikan bersama anda (penyokong). Dapat pulang ke negara saya untuk merangkul Copa America, Piala Dunia. Itulah yang terbaik,” kata Messi.

Dalam pada itu, Scaloni bangga memiliki rakan sepasukan yang mempunyai semangat juang tinggi sehingga mampu melakar kejayaan gemilang di Piala Dunia.

“Saya amat bersyukur kerana memiliki kumpulan pemain ini. Bola sepak milik mereka. Ia milik semua yang memakai jersi ini.

“Mereka berusaha sehingga titisan peluh terakhir dan kadangkala tidak mendapat keputusan dimahukan. Kali ini ia menjadi dan ia menakjubkan,” ujar Scaloni.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!