Pusat Islam UPM anjur karnival masjid mulai esok
PUSAT Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan Karnival Masjid UPM di pekarangan masjid itu di Serdang, Selangor selama empat hari bermula esok.
Pengarahnya, Mat Razi Abdullah berkata, karnival yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kariah Masjid UPM buat julung kalinya diadakan sempena 30 tahun kewujudan masjid berkenaan.
Beliau yang juga Nazir Masjid UPM berkata, penganjuran program itu selaras usaha dilakukan pihaknya dalam mengimarahkan masjid sebagai rumah ALLAH SWT yang paling seronok dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat terutama golongan muda.
"Kita ingin mendidik masyarakat untuk memahami peranan sebenar masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah tetapi sebagai sebuah institusi penyebaran ilmu, dakwah dan maklumat yang masih relevan pada zaman moden ini.
"Justeru, karnival itu tidak hanya tertumpu kepada pengisian berunsur dakwah menerusi ceramah agama, seminar, diskusi, forum dan persembahan nasyid. Malah, ia membuka peluang perniagaan kepada pelajar, staf dan ahli kariah di sekitarnya menerusi jualan gerai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Karnival Masjid UPM, Ustaz Alzasha Iliyyin Zainal Alam berkata, penganjuran program itu bertepatan dengan anjuran Islam yang menggalakkan setiap muslim berperanan dalam memakmurkan masjid.
Menurutnya, konsep terawal masjid adalah tempat untuk beribadah kepada ALLAH SWT, namun, dari masa ke semasa, ia berubah kepada banyak fungsi dan peranan untuk maslahat agama serta umat Islam di seluruh dunia.
"Seperti yang kita fahami bahawa sejak zaman Rasulullah SAW, masjid bukan terhad tempat ibadah semata-mata tetapi merupakan pusat kegiatan dakwah Islam yang luas.
"Memakmurkan masjid mempunyai kesan positif bagi pembinaan masyarakat dalam rangka peningkatan kualiti hidup masyarakat dan negara," katanya.
Jelasnya, karnival itu juga diadakan sebagai persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.
"Justeru, kami menjemput muslimin dan muslimat untuk bersama-sama menyertai karnival itu dan pada masa, memberi sumbangan kepada aktiviti imarah Ramadan," katanya.
Antara program menarik sepanjang karnival itu adalah klinik al-Fatihah, forum perdana, persembahan nasyid, pameran haiwan jinak, memanah dan Diskusi Fiqh Puasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!