UMNO Jempol lakukan transformasi, parti kekal relevan
JEMPOL- UMNO Bahagian Jempol akan melakukan transformasi yang diperlukan untuk kekal relevan dan bergerak berdasarkan kehendak ahli di peringkat akar umbi.
Ketua Bahagiannya, Mustapha Nagoor berkata, pihaknya akan melaksanakan penambahbaikan dalam pendekatan dan strategi bagi mendekati rakyat serta memperkasakan gerak kerja parti.
Katanya, ‘Bridging the gap, Digging the depth’ adalah strategi bagi merapatkan jurang hubungan dan komunikasi serta memahami dan menangani permasalahan rakyat.
"Kita mahu UMNO bahagian terus bergerak lebih maju ke depan dan tidak terikat dengan pendekatan yang mewujudkan jurang di antara ahlinya," katanya pada Jumaat.
Mustapha yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong yang lebih dikenali sebagai Pak Mus berkata, beberapa transformasi mengikut acuan bahagian akan dilaksanakan sebaik mendapat persetujuan ahlinya.
"Beberapa idea baharu dan segar turut dibincangkan untuk dilaksanakan selain memutuskan lantikan pegawai-pegawai baharu dalam mesyuarat tersebut," katanya.
Jelasnya, selain itu, beliau, Timbalan dan Naib Ketua Bahagian sepakat secara sukarela untuk menghantar kad laporan prestasi tahunan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam perkembangan lain, Mustapha menafikan barisan kepimpinan baharu bahagian yang dipilih adalah legasi bekas ketua bahagian lalu.
Katanya, barisan kepimpinan baharu ini adalah mewakili kehendak serta terjemahan hasrat majoriti ahli UMNO Bahagian Jempol.
"Kita juga menyatakan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
"... Dan kita masih ada kerja untuk dilakukan iaitu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), maka kita perlu bersatu hati dalam meneruskan perjuangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!