Bekas juruteknik tak mengaku salah tujuh pertuduhan rasuah
LABUAN - Seorang bekas penolong juruteknik Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tujuh tuduhan menerima rasuah berjumlah RM8,500 berhubung dokumentasi permit kerja.
Mazeran Mohamad Zain, 38, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui transaksi dalam talian antara 31 Oktober 2019 dan 20 Disember 2019.
Pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Hakim Jason Juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan serta perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 22 Mei untuk sebutan kes.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Joe Randy Juster, manakala tertuduh diwakili Datuk Seri Rakhbir Singh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!