Pesara bomba ditemukan meninggal dunia
SABAK BERNAM - "Saya nampak arwah dah kaku sebaik tiba di tempat kejadian," demikian kata, Mohd Taib Sahid, 61, apabila rakannya, Asmuni Samin, 65, menemui ajal di kebun kelapa di Batu 2, Sapintas, di sini, semalam.
Dalam kejadian 7 malam itu, Asmuni yang juga pesara bomba disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Mohd Taib berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi biras mangsa, Selamat Supaat, yang memaklumkan tentang penemuan Asmuni.
"Selepas dihubungi Selamat, saya terus ke rumahnya dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian. Sejurus tiba di kebun kelapa itu, saya dapati arwah dah tak bernyawa dan dalam keadaan tertiarap," katanya.
Mohd Taib berkata, dia kemudiannya menghubungi ahli keluarga mangsa, selain meminta Selamat menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.
"Mangsa menetap di Sungai Haji Dorani dan kerap kali datang ke kampung ini membersihkan kebunnya," katanya.
Malah, katanya, sebelum kejadian itu, arwah sempat menemui Selamat di sebuah kedai makan berhampiran di kampung itu.
"Selamat beritahu dia menegur arwah dan bertanya hendak ke mana?. Arwah memaklumkan hendak meracun di kebun kelapa," katanya.
Bagaimanapun, katanya, timbul tanda tanya apabila Selamat yang melalui jalan itu melihat kereta milik arwah masih berada di tepi kebun.
"Biasanya arwah pulang awal, namun kereta arwah masih di sana (kebun) walaupun hari dah nak senja. Dia (Selamat) terus masuk ke kebun dan tekejut bila lihat arwah dah meninggal dunia," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati mangsa tiba di kebun kira kira 12 tengah hari untuk kerja meracun.
"Mangsa meninggalkan keretanya di tepi jalan dan berjalan kaki sejauh kira-kira 50 meter. Tiba di lokasi, mangsa dipercayai terjatuh sebelum tertiarap dan meninggal dunia," katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada tanda pergelutan berlaku dan telefon bimbit milik mangsa berada dalam poket seluarnya.
"Tiada sebarang kecederaan dan unsur jenayah pada tubuh badan mangsa, manakala kereta mangsa berada dalam keadaan baik dan tiada barang hilang," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!