MRSM berbayar masih di peringkat kajian

Asyraf (tengah) pada Majlis Berbuka Puasa Mara Bersama Media di Hotel Premiera pada Jumaat.
Asyraf (tengah) pada Majlis Berbuka Puasa Mara Bersama Media di Hotel Premiera pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar bagi golongan berada masih belum diputuskan dan dalam peringkat kajian.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun, memberi jaminan matlamat utama penubuhan MRSM tidak akan 'tergadai' jika cadangan itu direalisasikan.

Menurutnya, cadangan tersebut dibuat apabila melihat tuntutan dan harapan masyarakat terhadap MRSM terlalu tinggi.

"Tahun ini sahaja, kita mendapat 90, 000 permohonan sedangkan tempat kita hanya ada 7,100.

"Dalam soal ini, kita tak boleh fokus hanya kepada B40 sahaja atau M40 dan T20 sahaja. Apa-apapun, matlamat Mara kita jaga.

"Kita akan pastikan sekurang-kurangnya 60 peratus dalam kalangan B40 akan mendapat tempat di MRSM dan selebihnya untuk M40 dan T20," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Mara Bersama Media di Hotel Premiera dekat sini pada Jumaat.

Program itu dibuat sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan jaringan kerjasama antara Mara bersama media dalam menyebarkan maklumat fungsi dan peranan Mara kepada orang awam.

Tambah Asyraf, pihak Mara masih menilai kebolehlaksanaan MRSM berbayar termasuk dalam konteks orientasi bagaimana untuk melaksanakannya.

"Aspek pertama yang kita kena fikirkan adalah kita tak boleh lari daripada orientasi Mara, pendidikan, kurikulum pendidikan dan pendekatan Mara sedia ada.

"Ia termasuklah bukan semua T20 yang akan masuk MRSM berbayar ini. Mungkin kita ambil kira 30 peratus pelajar tajaan. Tajaan ini mungkin bukan daripada Mara sahaja.

"Ia boleh daripada Yayasan Pelajaran Mara yang mendapat dana daripada pelbagai pihak, korporat, pelbagai pihak. Ini kita boleh manfaatkan.

"Kajian ini, ada dua dimensi penting. Nak bina satu hal, nak 'maintain' satu hal lagi. Ini semua kita kena ambil kira. Sebelum kita tambah MRSM baharu, 55 MRSM sedia ada ini kita kena pastikan kondisinya berada dalam tahap terbaik," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!