MBPJ siasat insiden operasi tangkap anjing
SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menjalankan siasatan secara terperinci kes melibatkan anggotanya yang didakwa mendera warga emas ketika misi menangkap anjing.
"MBPJ mengambil maklum penularan video di media sosial berkenaan insiden kakitangan majlis dengan orang awam semasa operasi tangkapan anjing dijalankan.
"Berhubung insiden tersebut, satu Jawatankuasa Siasatan Dalaman ditubuhkan dan kes ini sedang dalam siasatan.
"MBPJ ingin menegaskan bahawa tidak akan berkompromi serta melindungi mana-mana kakitangan seandainya benar dan terbukti melakukan kesalahan," kata kenyataan pada Jumaat.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan di saluran rasmi Majlis di saluran website www.mbpj.gov.my, e-mel di aduan@mbpj.gov.my. atau menghubungi talian hotline aduan 03-7954 2020, saluran aplikasi WhatsApp 011-12017914, Facebook MBPJ Aduan dan aplikasi eAduan MBPJ.
Pada Jumaat, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dilaporkan sebuah portal meminta penjelasan MBSJ berhubung tindakan pegawainya yang dikatakan memukul seorang warga emas baru-baru ini.
Perbuatan pegawai berkenaan dirakam ketika dia cuba menangkap beberapa ekor anjing dengan batang besi penangkap anjing.
Menurut Chean Chung, pihaknya juga telah mengeluarkan surat rasmi kepada Unit Integriti MBPJ untuk tindakan mereka berhubung kes tersebut, selain meminta penjelasan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai MBPJ semasa menjalankan operasi menangkap anjing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!