Gara-gara lori mengundur, wanita maut, lima parah

Keadaan Toyota Wish yang dirempuh lori di KM15.1 Lebuhraya Kajang-Seremban arah selatan pada Jumaat. - Foto ihsan bomba
Keadaan Toyota Wish yang dirempuh lori di KM15.1 Lebuhraya Kajang-Seremban arah selatan pada Jumaat. - Foto ihsan bomba
A
A
A

NILAI - Seorang wanita maut manakala lima lagi parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 15.1 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) arah selatan di Kampung Batang Benar di sini pada Jumaat.

Kejadian jam 4 petang itu dipercayai berlaku selepas sebuah lori yang diletakkan di lorong kecemasan secara tiba-tiba mengundur lalu melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish dinaiki mangsa dan sebuah kereta Perodua Myvi sebelum dirempuh pula oleh sebuah lori lain.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, Toyota Wish dan Perodua Myvi terbabit telah berhenti di lorong kecemasan lebih awal kerana terlibat kemalangan.

"Secara tiba-tiba lori jenis Hino yang diletakkan di lorong kecemasan iaitu lebih kurang jarak 100 meter di hadapan Toyota Wish telah bergerak secara mengundur tanpa pemandu.

"Lori itu kemudian telah melanggar Toyota Wish yang dipandu oleh lelaki berumur 31 tahun hingga menyebabkan kedua-dua kenderaan ini memasuki lorong paling kiri lebuh raya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Lori yang terlibat kemalangan di KM15.1 Lebuhraya Kajang-Seremban arah selatan pada Jumaat. - Foto ihsan bomba
Lori yang terlibat kemalangan di KM15.1 Lebuhraya Kajang-Seremban arah selatan pada Jumaat. - Foto ihsan bomba

Menurutnya, dalam masa sama sebuah lori jenis Volvo yang dipandu lelaki berumur 48 tahun di lorong kiri gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang Toyota Wish tersebut.

Ujarnya, akibat kemalangan itu, penumpang hadapan Toyota Wish iaitu seorang wanita mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu serta penumpang Toyota Wish telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Abdul Malik berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!