Peniaga perabot jadi jutawan BSN SSP

Pengusaha perabot berusia 56 tahun dari ibu negara diumumkan sebagai jutawan BSN SSP kedua pada tahun ini.
Pengusaha perabot berusia 56 tahun dari ibu negara diumumkan sebagai jutawan BSN SSP kedua pada tahun ini.
A
A
A

SEORANG pengusaha perabot berusia 56 tahun dari ibu negara diumumkan sebagai jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) SSP kedua pada tahun ini.

BSN dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan Cabutan Jutawan bulan Februari 2023 berkenaan telah diumumkan pada Majlis Cabutan BSN SSP pada 4 Mac di Wisma Sanyan, Sibu, Sarawak.

"Beliau telah mula menyimpan dalam BSN SSP secara konsisten bermula 1992 dan telah memenangi beberapa kategori hadiah sebelum ini. Beliau menasihati orang ramai supaya memulakan simpanan secara konsisten dengan segera walaupun hanya dalam jumlah yang kecil terutamanya dalam BSN SSP.

"BSN terus komited menambah baik produk BSN SSP dari semasa ke semasa agar kekal kompetitif. Usaha berterusan ini kami lakukan bagi menggalakkan rakyat Malaysia terutamanya golongan muda menyimpan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, BSN telah memperkenalkan pelbagai kategori cabutan dan hadiah menarik pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM27 juta untuk lebih 18,000 pemenang, selain menawarkan Cabutan Jutawan dengan seorang pemenang akan membawa pulang BSN SSP RM1 juta setiap bulan.

"Lebih istimewa pada tahun ini, BSN menawarkan hadiah BSN SSP RM1 juta dan juga sebuah kereta BMW X5 pada cabutan bulan Disember. Syarat simpanan minimum ialah RM3,000 selama sekurang-kurangnya 90 hari,” menurut kenyataan itu.

BSN juga memaklumkan penyimpan BSN SSP dalam kalangan guru kini berpeluang menyertai kategori baharu iaitu Cabutan Guru yang akan diadakan setiap bulan dengan ganjaran BSN SSP RM50,000 bagi hadiah pertama dengan simpanan minimum RM200, selain Cabutan Jutawan pada April akan diadakan khas buat golongan guru.

BSN memaklumkan karnival BSN SSP seterusnya akan diadakan di Aeon Kinta City Mall Ipoh, Perak bermula Rabu hingga Ahad depan bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, setakat Januari lepas, jumlah simpanan BSN SSP adalah hampir RM5 bilion dan lebih RM250 juta telah dicatatkan untuk simpanan baharu bagi bulan yang sama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!