Zii Jia mudah lolos separuh akhir Terbuka Switzerland

Zii Jia bakal menentang pemain Jepun, Koki Watanabe dalam aksi separuh akhir Terbuka Swizerland pada Sabtu.
Zii Jia bakal menentang pemain Jepun, Koki Watanabe dalam aksi separuh akhir Terbuka Swizerland pada Sabtu.
A
A
A

JAGUH perseorangan negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah mara ke separuh akhir Terbuka Switzerland selepas menyingkirkan pemain kurang ternama dari Taiwan, Lee Chia Hao.

Dalam aksi suku akhir di St. Jakobshalle, Basel sebentar tadi, Zii Jia yang tampil selaku pilihan kedua kejohanan mudah mencatatkan kemenangan 21-12, 21-17 dalam tempoh 37 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Zii Jia berjaya melunaskan dendam ke atas Chia Hao yang menyingkirkannya pada pusingan kedua Terbuka Jerman dua minggu lalu.

Kejayaan itu juga menyaksikan Zii Jia meneruskan rentak konsisten apabila melangkah ke separuh akhir dalam dua kejohanan berturut-turut selepas turut melakukannya pada Seluruh England minggu lalu.

Menanti Zii Jia di pentas separuh akhir pada Sabtu adalah pemain pusingan kelayakan dari Jepun, Koki Watanabe yang menewaskan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 21-12, 21-15.

Terdahulu, Zii Jia yang juga pemain nombor empat dunia berjaya menyingkirkan juara Seluruh England, Li Shi Feng dalam aksi pusingan pertama.

Dalam aksi pusingan kedua pada Khamis, Zii Jia menewaskan pemain Ireland, Nhat Nguyen 21-19, 21-15.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!