Guna 40kg santan masak percik ayam

Mohd Zaidi (kiri) menyiram kuah percik sebelum membakar ayam sambil diperhatikan Madihah.
Mohd Zaidi (kiri) menyiram kuah percik sebelum membakar ayam sambil diperhatikan Madihah.
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga ayam percik yang juga pasangan suami isteri di Nilam Puri di sini menggunakan kira-kira 40 kilogram santan sehari untuk dijadikan kuah ayam percik.

Kuah yang dihasilkan itu boleh digunakan untuk menyiram kira-kira 90 ekor ayam yang dipotong empat sebelum dibakar.

Mohd Zaidi Deraman dan isteri, Madihah Hasan Basri, masing-masing berusia 39 tahun itu menggunakan resipi turun temurun daripada keluarga mereka untuk berniaga ayam percik sejak lebih tiga tahun lalu.

Dia berkata, pada hari biasa, mereka tidak menggunakan santan sebanyak itu kerana permintaan tidak banyak iaitu antara 15 hingga 16 ekor ayam sahaja.

Menurutnya, bagi menghasilkan kuah yang segar setiap hari sepanjang Ramadan, mereka akan mula memasak kuah selepas sahur.

"Kuah perlu benar-benar sebati dan setakat ini ramai pelanggan memberi maklum balas yang baik kerana sukar basi walaupun tanpa disimpan dalam peti ais dalam tempoh sehari," katanya.

Menurutnya, pada malamnya, mereka berdua akan menyiang dan mengikat ayam pada pemanggang buluh sebelum proses seterusnya.

Katanya, ayam percik pada hari pertama Ramadan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan dan jualan mereka habis.

Bagaimanapun jelas Mohd Zaidi, jualan mungkin akan berkurang pada pertengahan puasa dan kembali meningkat pada akhir Ramadan.

Ayam dibakar selepas disiram ayam percik
Ayam dibakar selepas disiram ayam percik

"Berdasarkan pengalaman kami, kenaikan permintaan dalam tempoh akhir Ramadan berikutan ramai perantau pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga," katanya.

Dalam pada itu, dia berkata, sebelum pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi baik, jualan ayam percik mereka mencecah lebih 100 ekor sehari.

"Namun kami tetap bersyukur dan mengambil peluang sempena Ramadan kerana ramai yang mahu mengubah selera pada bukan puasa," katanya.

Pasangan itu turut mengambil tiga pembantu sepanjang Ramadan kerana tidak menang tangan membakar dan melayan pelanggan.

Tambahnya, harga untuk satu pemanggang dengan dua ketul ayam bahagian dada dan paha ialah RM16.

"Kami tidak menggunakan penambah perasa (MSG) yang secara tidak langsung dapat mengekalkan rasa asli ayam.

"Kuah yang kami hasilkan juga asli dan hanya menggunakan santan pekat tanpa menambah tepung," katanya.

Pasangan itu turut menjual perut ayam percik pada harga RM3.50 satu atau RM10 untuk tiga pemanggang.

"Ia mungkin berbeza dengan peniaga lain yang menggunakan pencucuk atau buluh halus kerana kami menggunakan pemanggang buluh yang lebih besar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!