Pengunjung teruja sertai buka puasa ala Madinah
SHAH ALAM - Program Iftar ala Madinah @Karangkraf membuka tirainya pada Jumaat dengan kehadiran ratusan pengunjung yang teruja untuk merasai pengalaman berbuka puasa ala Madinah.
Bagaimanapun, program yang dijadualkan berlangsung di dataran Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini dipindahkan ke dewan berikutan hujan.
Salah seorang pengunjung, Siti Amirah Mohd Ahmad Kamal, 30, berkata, ini kali pertama dia membawa ahli keluarganya ke program berkenaan.
Menurut suri rumah yang merupakan ibu kepada tujuh cahaya mata itu, anak-anaknya begitu teruja dengan suasana pengunjung duduk bersila beramai-ramai sambil menikmati juadah yang disediakan.
“Selepas mendapat tahu tentang program ini di WhatsApp, saya dan suami memang berhasrat untuk beri anak-anak merasai suasana iftar seperti di Makkah dan Madinah,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi Shamsul Hidayat Omar, 40, pula, cuaca hujan tidak menghalang dirinya membawa isteri dan empat anaknya ke program berkenaan walaupun selepas seharian bekerja.
Ujar jurugambar itu, dia mendapat tahu mengenai Iftar ala Madinah @Karangkraf melalui rakannya yang berkongsi poster dan pautan kehadiran di WhatsApp.
Sementara itu, Muhammad Aizat Kamarulzaman, 40, berkata, ini adalah tahun kedua dia sekeluarga hadir ke program tahunan anjuran Grup Sinar Karangkraf itu.
Malah, pemandu komuter itu turut merancang untuk mengajak lebih ramai kenalannya berkunjung ke sana bagi memeriahkan lagi suasana berbuka puasa.
“Menariknya, penganjur akan menjalankan aktiviti yang melibatkan pelbagai peringkat umur. Jadi, sementara menunggu azan Maghrib, tiga anak saya dapat mengisi masa untuk melakukan aktiviti yang mereka suka,” katanya.
Menurut seorang operator, Muhammad Zulkifli Mohd Hanapi, 33, selain mencari pengalaman baharu bersama keluarganya, program Iftar ala Madinah @Karangkraf boleh menjadi satu platform terbaik untuk mengeratkan persaudaraan sesama Islam.
“Kita nak cari pengalaman, dalam masa yang sama nak beri kegembiraan kepada anak-anak. Kita lihat, ramai yang bawa anak-anak kecil datang ke sini, suasana kemeriahan itu sukar untuk dicari di tempat lain," katanya.
Selepas mendapat sambutan begitu menggalakkan sebelum ini, Iftar Ala Madinah @Karangkraf diteruskan lagi bermula pada 24 Mac hingga 18 April ini dengan jangkaan kehadiran seramai 1,000 pengunjung setiap hari.
Individu yang mahu menyertai program itu boleh mengesahkan kehadiran di pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScXgaP2G9Wpz0KwZKoMisnYuJ6ImFz5wrfff8sAvjImNKxhxQ/viewform.
Bagi pihak yang ingin turut serta memberi infak makanan, barangan atau wang tunai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Sinar Karangkraf Sdn Bhd 564276 529068 (Maybank) atau melalui pautan https://info.sinarharian.com.my/tabung-infak-iftar-karangkraf/.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!