Hussin antara perintis komando
SHAH ALAM - Meskipun sudah 58 tahun berlalu, peristiwa menumpaskan Pasukan Gerila Rakyat Sarawak masih segar dalam ingatan bekas komando, Kolonel (B) Hussin Awang Senik.
Mengimbau kembali, Hussin, 79, berkata, antara fokus pasukannya pada waktu itu adalah memburu Pasukan Gerila Rakyat Sarawak yang terbabit melakukan serangan terhadap Balai Polis Siburan pada Jun 1965 sehingga menyebabkan ketua balai itu terkorban.
"Pasukan kami bersama beberapa Batalion Rejimen Askar Melayu Diraja terlibat dalam operasi memburu musuh sehingga di perbatasan di Kalimantan Barat untuk melaksanakan serangan balas," katanya ketika ditemui di rumah Kelab Veteran Komando Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hussin berkata, seramai 17 orang termasuk salah seorang daripada pemimpin Pasukan Gerila Rakyat Sarawak yang dikenali sebagai Lu Kong turut mati ditembak dalam operasi itu.
"Pengganas komunis ketika di medan perang mereka berjuang habis-habisan, malah sanggup membunuh perajurit negara," katanya.
Hussin berkata, komitmen beliau bersama pasukannya dalam usaha mempertahankan kedaulatan tanah air hanya ALLAH SWT yang Maha Mengetahui.
"Saya sentiasa berpesan kepada rakan sepasukan, kita hanya menjalankan tugas dan memikul tanggungjawab dalam usaha menumpaskan musuh negara," katanya.
Hussin yang berasal dari Besut, Terengganu memberitahu, beliau meminati bidang ketenteraan apabila berjumpa dengan penduduk kampungnya, Allahyarham Harun Taib yang segak berpakaian tentera ketika menyertai Regimen Askar Melayu Diraja pada 1957.
"Pada ketika itu, saya mewakili Terengganu melawan Johor dalam perlawanan akhir kejohanan bola sepak sekolah menengah di ibu kota.
"Minat untuk menyertai tentera setelah bertemu dan mendengar pengalaman Harun ketika menyertai tentera, saya juga mahu menyumbang jasa kepada negara," katanya.
Anak bongsu daripada 13 beradik itu menambah, beliau kemudian menimba ilmu di Maktab Tentera Persekutuan Tanah Melayu (Maktab Tentera Diraja) di Port Dickson pada 1960.
"Saya berpangkat kadet tentera pada 1962 dan setahun kemudian saya telah ditugaskan dalam operasi di sempadan negara," katanya.
Hussin berkata, satu latihan asas komando diperkenal dan dikendalikan oleh Regimen ke-40 Komando Marin Diraja British (40th British Royal Marines Commando) pada 25 Februari 1965.
"Pada awalnya, beribu sukarelawan hadir ke kem tentera di Sungai Besi Kuala Lumpur, kita kemudian pergi ke Burma Camp, Ulu Tiram, Johor.
"Daripada jumlah itu, hanya 15 orang sahaja yang terpilih untuk menjalani latihan asas komando selama enam minggu, namun hanya 12 orang yang lulus," ujarnya.
Pasukan elitHussin juga merupakan salah seorang perintis Malaysian Special Service Unit (MSSU) atau Pasukan Gerak Khas Malaysia yang kini dikenali Grup Gerak Khas (GGK) iaitu pasukan elit negara dalam naungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Hussin berkata, pegawai pemerintah pertama bagi GGK adalah Mejar Abu Hassan Abdullah dan Sarjan Ariffin Mohamad menjadi Mejar skuadron yang pertama.
"Saya pula bertanggungjawab ke atas trup kedua GGK, manakala trup satu diketuai oleh Leftenan Mohd Ramli Ismail dan trup ketiga diketuai Leftenan Ghazali Ibrahim," katanya.
Hussin berkata, kekuatan GGK meningkat sebanyak 70 peratus pada akhir 1965.
"Bagi memastikan pembangunan yang seiring dengan pasukan elit, pegawai dari pelbagai pangkat dihantar keluar negara untuk menjalani kursus khas," ujarnya.
Mengulas lanjut, tambah Hussin, beliau bersama trup kedua GGK telah ditugaskan dalam satu operasi khas di dalam hutan di Tawau, Sabah pada tahun sama.
"Pada ketika itu, pasukan saya telah diarahkan untuk menyekat pergerakan musuh di kawasan bukit di Tawau," katanya.
Hussin berkata, pasukannya telah menerima maklumat yang mendakwa askar musuh telah melarikan diri dan tiada di kawasan bukit tersebut.
"Saya kemudian membuat keputusan untuk menghantar tujuh rakan sepasukan untuk meronda di sekitar kawasan tersebut.
"Tiba-tiba, saya terdengar bunyi tembakan daripada senjata mereka yang sedang bertempur dengan saki baki askar komunis, namun musuh berjaya melarikan diri," katanya.
Operasi banteras kongsi gelap
Bercerita lanjut, kata Hussin, apabila keadaan di Sabah dan Sarawak reda, pasukan komando terlibat dalam operasi di ibu negara pada 1969.
"Seramai 175 anggota komando dari Kem Port Dickson, Negeri Sembilan telah pergi ke Kuala Lumpur setelah mendapat arahan daripada pihak atasan.
"Kami ditugaskan untuk mengawal keselamatan kawasan dan bangunan kementerian pertahanan.
"Selain itu, kita turut membantu polis menangkap ketua-ketua kongsi gelap yang mengganggu gugat keselamatan awam di ibu kota," katanya.
Menurutnya, antara ketua kongsi gelap yang sangat dikehendaki polis dikenali sebagai Logo berjaya diberkas.
"Pihak polis telah menyalurkan maklumat tentang pergerakan Logo. Kita hanya perlu menunggu peluang terbaik sebelum melakukan serbuan ke tempat persembunyiannya.
"Kita berjaya memberkas lelaki itu, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
KekacauanHussin berkata, selepas 25 hari bertungkus-lumus menumpaskan kegiatan haram kongsi gelap yang mencetuskan kekacauan, Hussin diarahkan balik ke Kem Sebatang Karah, Port Dickson dan tempatnya diganti dengan Kapten Chua Hong Kang.
"Komando jenis orang tiada cerita panjang. Kita juga perlu patuh pada arahan," katanya.
Hussin berkata, beliau bersara pada 1 Januari 1994, selepas 34 tahun berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Sebelum bersara, saya pernah menjadi Pengerusi Persatuan Menembak ATM serta diberi pulang sebagai pegawai pengurus pasukan boling padang dan menembak kebangsaan yang menyertai sukan komanwel," katanya.
Menurutnya, perjuangan serta pengorbanan perajurit dahulu sangat berbeza berbanding askar yang menjaga keamanan negara pada masa kini.
"Perbezaan pencen perajurit dahulu juga jauh berbeza jika dibandingkan dengan pencen askar pada masa kini.
"Saya berharap kerajaan dapat menyelesaikan segera isu penyelarasan pencen veteran ATM bagi meringankan beban kami yang perlu menanggung kos sara hidup makin meningkat," katanya.
SENARAI NAMA 12 ORANG KOMANDO YANG PERTAMA
1. Mejar Abu Hassan Abdullah (Kolonel Bersara)
2. Leftenan Mohd Ramli Ismail (Mejar Jeneral Bersara)
3. Leftenan Muda Ghazali Ibrahim (Mejar Jeneral Bersara)
4. Leftenan Muda Hussin Awang Senik (Kolonel Bersara)
5. Sarjan Ariffin Mohamed
6. Sarjan Anuar Talib
7. Sarjan Zakaria Abbas
8. Sarjan Yahya Darus
9. Koperal Silva Dorai
10. Koperal Moo Kee Fah
11. Koperal Sabri Ahmad
12. Lans Koperal Johari Mohd Siraj
INFO
Motto Rejimen
Cepat Dan Cergas
Lambang Rejimen
- Digelar sebagai "Harimau Berjuang", wajah harimau mengaum dan pisau komando.
- Warna hijau melambangkan status Rejimen Komando dan melambangkan warna hijau juga sebagai warna suci agama Islam.
- Warna Biru melambangkan hubungan erat antara Rejimen Gerak Khas dengan 40th Royal Marines Commando British. Harimau melambangkan keberanian, dan ketangkasan.
- Pisau Komando merupakan pertanda status anggota resimen – hanya anggota komando sahaja yang layak menyandang pisau komando.
Beret Hijau
- Anggota Rejimen Gerak Khas menggunakan beret hijau, ia merupakan simbol am di antara komuniti pasukan komando di seluruh dunia. Lambang harimau berjuang diletakkan pada beret hijau.
Lanyard Biru
- Anggota Rejimen Gerak Khas juga menggunakan lanyard berwarna biru, sebagai tanda penghargaan daripads 40th British Royal Marines Commando.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!