Bau busuk bongkar penemuan berpuluh rangka, organ kucing

Tulang kucing dijumpai dalam bekas putih dan ruangan bilik.
Tulang kucing dijumpai dalam bekas putih dan ruangan bilik.
A
A
A

SHAH ALAM - Aduan bau busuk di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur membawa kepada penemuan berpuluh rangka, cebisan organ dan daging kisar disyaki akibat kes kezaliman kucing, pada 11 Mac lalu.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, awalnya beberapa jiran mengadu tidak tahan dengan bau busuk dari rumah sewa yang dihuni seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun menyebabkan pemilik rumah membuat pemeriksaan.

Menurutnya, pemilik rumah bagaimanapun terkejut dengan penemuan bangkai, rangka dan anggota haiwan itu dalam keadaan tidak cukup sifat.

"Selain daging kisar di dalam baldi dan peti ais, terdapat sebuah bilik turut dipenuhi bangkai haiwan yang telah lama mereput," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Lebih menyedihkan katanya, apabila laporan polis yang dibuat oleh pemilik premis tidak dilayan dengan alasan mereka tidak mempunyai kuasa untuk membuat siasatan dan penguatkuasaan

Jelas Arie Dwi, pihak polis sebenarnya mempunyai kuasa membantu mencegah segala kekejaman haiwan itu kerana ada undang-undang diperuntukkan bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, disebabkan tiada tindakan daripada pihak berkuasa, akhirnya aduan itu disampaikan kepada Ketua Seksyen Lembaga Kebajikan Haiwan dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar, Putrajaya.

Justeru, beliau berharap Persatuan Haiwan-Haiwan Malaysia menuntut agar kezaliman tersebut diheret ke mahkamah dan didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!