Meningitis sebabkan selaput pada otak
APAKAH Penyakit Meningitis (Meningococcal)?
Meningitis adalah satu penyakit melibatkan keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang.
Penyakit meningitis boleh disebabkan oleh jangkitan virus, bakteria atau kulat. Salah satu bakteria penyebabnya ialah Neisseria meningitidis dan jangkitan oleh bakteria ini dipanggil sebagai jangkitan Meningococcal Meningitis.
Penyakit meningitis kebanyakannya berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja tetapi boleh juga melibatkan semua peringkat umur. Mereka yang mempunyai tahap imuniti yang rendah, kontak terdekat pesakit dan pelancong yang melawat kawasan wabak juga mempunyai risiko tinggi mendapat meningitis.
Cara Jangkitan
Penyakit meningitis berjangkit secara langsung melalui titisan rembesan salur pernafasan dari hidung dan tekak orang yang dijangkiti.
Tanda dan Gejala
Lima hingga 10 peratus daripada mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala penyakit.
Tanda-tanda dan gejala adalah seperti berikut:-
- Demam
- Sakit kepala yang teruk
- Loya
- Muntah
- Ketegangan atau sakit pada tengkuk
- Mata terasa sensitif melihat cahaya (photosensitive)
- Ruam pada badan
- Lain-lain tanda seperti kepeningan dan kebingungan (drowsiness and confusion)
- Sawan
- Tidak sedarkan diri
Komplikasi
Tanpa rawatan yang sempurna, pesakit meningitis mungkin mengalami masalah sistem saraf seperti lumpuh dan pekak atau kematian.
Rawatan
Sekiranya anda mempunyai tanda dan gejala penyakit meningitis, anda diminta menjalani pemeriksaan dan pengesahan di klinik atau hospital yang berdekatan. Penyakit Meningococcal Meningitis boleh dirawat menggunakan antibiotik. Pengambilan antibiotik untuk pencegahan (prophylaxis antibiotic) hanya disyorkan kepada kontak terdekat pesakit. Penyakit Meningococcal Meningitis boleh dicegah melalui pemberian pelalian.
Pencegahan
- Vaksin yang digunakan dipanggil Meningococcal Quadrivalent Vaccine ACYW-135
- Vaksin ini disyorkan diberi kepada pelancong/pelawat yang pergi ke kawasan endemik seperti negara-negara Afrika, Amerika Selatan dan Asia Tengah termasuk Arab Saudi bagi mereka yangmengerjakan haji dan umrah
- Vaksin ini diberi 2 minggu sebelum melancong atau lawatan dibuat. Pemberian vaksin ini boleh memberi ketahanan diri terhadap penyakit meningitis selama 3-5 tahun.
- Pemberian vaksin secara rutin kepada kanak-kanak adalah tidak digalakkan.
- Vaksin ini boleh didapati di hospital dan klinik kesihatan kerajaan dan swasta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!