Syor tambah kompisisi ahli Parlimen dalam JKPK
SHAH ALAM - Kerajaan disaran untuk menambah kompisisi ahli Parlimen dalam setiap Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) iaitu maksimum 16 orang bagi memastikan semua pihak mempunyai peranan dan fungsi dalam jawatankuasa tersebut.
CSO Platform for Reform dalam satu kenyataan berkata, dengan hanya sembilan ahli bagi setiap jawatankuasa adalah satu pembaziran kerana JKPK itu masih gagal untuk menggunakan sepenuhnya ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Katanya, jika 10 JKPK diteruskan, maka terdapat 67 ahli Parlimen tiada peranan memandangkan tidak menganggotai mana-mana JKPK atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
"Kami bersependapat dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mencadangkan penambahan komposisi ahli Parlimen atau menubuhkan lebih banyak JKPK.
"Ia bagi memastikan setiap ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat memainkan fungsi dan peranan mereka di dalam jawatankuasa yang telahpun ditugaskan," jelas kenyataan itu pada Sabtu.
Dewan Rakyat pada Selasa lalu meluluskan usul penubuhan 10 JKPK Dewan Rakyat Parlimen ke-15 yang baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang membentangkan usul itu berkata, ia merangkumi JKPK Kewangan dan Ekonomi, JKPK Kesihatan serta JKPK Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian.
Selain itu, JKPK Infrastruktur Pengangkutan dan Komunikasi, JKPK Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, JKPK Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat serta JKPK Alam Sekitar, Sains dan Perladangan.
CSO Platform for Reform turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan JKPK dalam memastikan proses demokrasi di Malaysia berjalan dengan lancar dan telus.
"Kami percaya dengan adanya penglibatan organisasi masyarakat madani dalam kerangka ini membolehkan jawatankuasa memperoleh maklumat yang lebih efektif sekali gus menjadi pengimbang tara kepada setiap kementerian.
"Sebagai cadangan penambahbaikan, kami berharap JKPK dapat memberi lebih banyak ruang kepada perwakilan masyarakat dan penggiat hak asasi manusia untuk memberikan pandangan mereka mengenai isu-isu yang dibincangkan di dalam jawatankuasa tersebut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!