Warga emas teruskan warisan isteri buat kuih tradisional
KOTA BHARU - Seorang warga emas di Kampung Tikat di sini meneruskan warisan arwah isterinya dengan membuat kuih-muih tradisional iaitu jala mas, buah tanjung dan tahi itik.
Mohamed Omar, 63, berkata, kuih-muih itu kini masih mendapat sambutan terutama sepanjang Ramadan untuk dijadikan juadah berbuka puasa.
"Saya sudah membuat dan menjual kuih ini lebih 20 tahun lalu tetapi kini dibantu anak kedua, Mohd Safwan sejak kematian isteri tujuh tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Sabtu.
Menurutnya, mereka membungkus kira-kira 1,000 bekas kuih-muih berkenaan pada hari pertama dan kedua puasa di atas permintaan pelanggan.
Mohamed memberitahu, setiap hari dia menggunakan 3,000 biji telur kerana permintaan yang tinggi terhadap jala mas, buah tanjung dan tahi itik.
Tambahnya, resipi arwah isterinya, Fatimah Nik Salleh masih dikekalkan dengan menggunakan telur kuning untuk jala mas dan buah tanjung, manakala telur putih untuk tahi itik.
Bagaimanapun katanya, harga kuih-muih itu terpaksa dinaikkan antara RM1 ke RM2 sebekas kerana harga bahan mentah tidak menentu terutama telur.
"Sebelum ini harga tahi itik dan buah tanjung dijual pada harga RM5 tetapi kini RM6 sebekas manakala jala mas bersaiz besar berharga RM13 daripada RM11.
"Memang kami akan terus membuat dan menjual kuih tradisional ini walaupun berdepan kenaikan harga barang mentah kerana ramai yang masih mencarinya," katanya.
Bapa kepada tujuh anak dan 17 cucu itu dibantu 13 pekerja akan menyiapkan tempahan dan jualan bermula selepas subuh.
"Setiap hari kami membuat kuih baharu bagi menjaga kualiti sebelum pelanggan datang mengambilnya seawal jam 9 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!