Remaja maut digilis bas di LPT2
DUNGUN - Seorang remaja maut digilis sebuah bas dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di kilometer 337.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka di sini awal pagi Sabtu.
Nahas berlaku kira-kira jam 1.10 pagi itu menyebabkan mangsa, Muhammad Irfan Abdullah, 18, yang berasal dari Santong, Paka meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dikatakan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah Toyota Unser dari arah sama.
"Akibat pelanggaran itu mangsa terjatuh ke atas jalan raya dan digilis sebuah bas yang tidak sempat mengelak,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Menurut Baharuddin, pemandu Toyota Unser berusia 29 tahun yang berasal dari Kampung Mak Kemas, Bukit Payong dan pemandu bas berusia 28 tahun yang berasal dari Bachok, Kelantan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!