Banjir kilat terburuk di Kampung Melayu Majidee

Rumah salah seorang penduduk di Kampung Melayu Majidee yang terjejas akibat banjir kilat pada Jumaat. (Gambar kecil: Khairul, Supardi)
Rumah salah seorang penduduk di Kampung Melayu Majidee yang terjejas akibat banjir kilat pada Jumaat. (Gambar kecil: Khairul, Supardi)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk Jalan Budiman di Kampung Melayu Majidee menyifatkan banjir kilat yang melanda pada Jumaat, sebagai yang terburuk pernah berlaku di kawasan berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu mendapati rata-rata penduduk sibuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di rumah masing-masing setelah air dilaporkan surut sepenuhnya hampir tengah malam tadi.

Menurut seorang penduduk, Sapiah Sarai, 60, ini kali pertama banjir kilat berlaku di kawasan berkenaan.

Sapiah berkata, air banjir juga naik dengan pantas hingga dia tidak dapat membawa keluar barang-barang berharga.

Sapiah
Sapiah

“Lebih kurang dalam 3 petang, hujan lebat sangat dan tak lama lepas itu air pun naik dengan cepat.

“Masa tu saya tak fikir apa-apa dah...cuma nak cepat-cepat keluar dari rumah. Masa keluar dari rumah sempat bawa diri sendiri sahaja.

"Barang-barang lain semua tak bawa, tak sempat nak bawa sebab dah tenggelam. Lepas tu air surut sikit dalam jam 5 petang. Masa berbuka pun dalam air,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Kampung Melayu Majidee terutama di Jalan Budiman dilaporkan dinaiki air susulan hujan lebat pada petang Jumaat.

Bagaimanapun, air surut menjelang tengah malam dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka serta tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Seorang penduduk, Khairul Ismail, 35, mengakui tidak menyangka hujan lebat sekitar jam 3 petang, Jumaat akan menyebabkan banjir kilat di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, mujur banjir surut menjelang tengah malam membolehkan dia melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Masa hujan lebat, saya duduk seorang di rumah, rasanya dalam satu jam hujan lebat dan kemudian air mula masuk ke dalam rumah.

“Sekejap sahaja air dah naik tinggi paras pinggang (anggaran 1 meter) dan saya pun terus keluar dari rumah.

“Dalam 11 lebih (malam), air mulai surut dan saya pun mula buat kerja-kerja bersihkan rumah. Tidur pun sekejap, lepas sahur tadi sambung balik bersihkan rumah,” katanya.

Anggota bomba turut membantu ketika Kampung Melayu Majidee dilanda banjir kilat, pada Jumaat.
Anggota bomba turut membantu ketika Kampung Melayu Majidee dilanda banjir kilat, pada Jumaat.

Seorang lagi penduduk, Supardi Bargong, 71, berkata, ketika kejadian, dia tinggal bersama dua cucunya yang masih kecil di rumah.

Katanya, apabila melihat air semakin tinggi, dia membawa kedua-dua cucunya itu keluar dari rumah dan duduk di jalan berhampiran.

“Hujan memang lebat sangat jadi nak selamat (barang-barang) macam mana, air pun naik cepat dah sampai paras dada saya (anggaran 1 meter lebih).

“Saya dan cucu kemudian duduk di tepi jalan, nak masuk ke rumah pun tak boleh sebab air dah naik, semua benda tenggelam.

“Untuk berbuka, mujurlah kawan anak saya yang berniaga di bazar Ramadan dekat sini ada bagi makanan untuk saya, isteri dan cucu berbuka puasa. Surau dekat sini pun ada bagi makanan. Kami nak masak tak boleh, dapur dah tenggelam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!