Endrick azam berikan aksi terbaik berdepan Hong Kong
BIARPUN gagal meledak sebarang jaringan pada aksi sulung berdepan Turkmenistan baru-baru ini, namun pemain naturalisasi negara, Endrick Dos Santos tetap berazam untuk memberikan aksi terbaik pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, berdepan Hong Kong, di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa ini.
Malah pemain kelahiran Brazil itu berkata, dia tetap gembira kerana turut memainkan peranan tersendiri bagi membantu kemenangan skuad Harimau Malaya.
“Walaupun tidak dapat menjaringkan gol atau membuat bantuan gol, saya tidak kecewa kerana apa yang penting pasukan Harimau Malaya mencapai objektif untuk menewaskan Turkmenistan walaupun hanya mempunyai masa yang singkat untuk membuat persiapan.
“Oleh itu saya yakin pasukan ini mampu melakukan yang lebih baik apabila berdepan Hong Kong, Selasa ini.
“Cuma, pemain perlu cepat membentuk keserasian bersama selain cepat ‘hadam’ dengan corak taktikal yang diterapkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon,” katanya.
Untuk rekod, kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan Khamis lalu turut membantu melonjakkan kedudukan skuad negara yang kini berada pada ranking ke-140 dunia.
Sementara itu Endrick yang beraksi di posisi tengah menyerang berkata, dia sedia beraski di mana-mana posisi kelak berdasarkan kepada perancangan taktikal dalam usaha memburu kemenangan ketika berdepan Hong Kong nanti.
Menurut pemain berusia 28 tahun itu, dia yakin mampu menyesuaikan diri beraksi di mana-mana posisi kelak.
“Walaupun ketua jurulatih meletakkan saya di posisi yang lebih rendah di bahagian tengah, saya juga selesa untuk bermain secara bertahan kerana pernah beraksi di posisi berkenaan sebelum ini.
“Sebenarnya, saya gembira bila mendapat panggilan untuk beraksi dengan pasukan Harimau Malaya dan saya yakin pasukan ini mampu menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!