OKT larikan diri bersama teman wanita
KULIM - Seorang lelaki yang berada dalam jaminan mahkamah melarikan diri bersama teman wanitanya selepas gagal menjelaskan denda RM11,000 kepada Mahkamah Majistret Kulim semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, Orang Kena Tuduh (OKT), Muhammad Ashaaru At Tamimi Ali, 26, beralamat di Seberang Jaya Prai Pulau Pinang hadir bersendirian ke mahkamah berkenaan bagi dijatuhkan hukuman atas kesalahan mencuri di pasar raya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, OKT berkenaan memaklumkan kepada anggota bertugas bahawa teman wanitanya akan hadir.
Menurutnya, disebabkan waktu semakin lewat, OKT berkenaan dibawa ke Balai Polis Kulim dalam keadaan bergari sebelum dihantar ke penjara.
"Lelaki itu telah diiringi empat anggota menaiki kereta peronda. Dalam masa sama teman wanitanya hadir tetapi tidak membawa wang untuk menjelaskan bayaran denda.
"Ketika kereta yang telah berkunci dari dalam hendak bergerak, wanita itu membuka pintu kereta dari luar. Kereta itu berkunci dari dalam menggunakan sistem 'child lock' di mana pintu hanya boleh dibuka dari luar," katanya.
OKT itu berjaya lolos daripada kawalan sebelum melarikan diri bersama teman wanitanya yang menunggang motosikal jenis RXZ.
Motosikal itu bagaimanapun terbabas di kawasan sebuah kilang berhadapan Kampung Padang Cina.
Penunggangnya panik apabila terserempak dengan kereta peronda Kulim Hitech.
Mior Faridalthrash berkata, semua anggota telah diarahkan untuk mengesan kedua-dua suspek terlibat.
"Waktu sekarang elemen rondaan sedang bergerak di pekan Kulim dan kawasan-kawasan suspek berpontensi bersembunyikan diri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!