6 lembu mati diserang harimau, penternak rugi RM15,000

Lembu mati dengan kesan gigitan pada anggota badan dan dipindahkan dari kandang.
Lembu mati dengan kesan gigitan pada anggota badan dan dipindahkan dari kandang.
A
A
A

TANAH MERAH - Enam lembu mati dipercayai diserang harimau belang di sebuah kebun getah di Kampung Peralla di sini pada Jumaat.

Penternak lembu, Wan Md Seri Wan Ismail, 60, berkata, sebelum kejadian itu, dia menambat 13 ekor lembu di sebuah kandang di kebun getah itu pada jam 9.30 pagi hari tersebut.

“Mula-mula saya tengok pintu kandang pecah tetapi tak syak apa-apa sebelum ternampak dua lembu terbaring dengan kesan gigitan pada beberapa bahagian badan termasuk leher.

“Ada kesan tapak kaki seperti harimau di sekitar kawasan kandang,” katanya di sini pada Sabtu.

Wan Md Seri berkata, dia mengalami kerugian dianggarkan sekitar RM15,000 akibat kejadian itu.

“Empat lembu yang turut diserang masih hidup dan terpaksa disembelih. Dagingnya saya jual dengan harga yang murah dan separuh diberi percuma kepada penduduk.

“Lembu-lembu masih hidup saya pindah ke kandang lain buat sementara waktu dan memasang lampu serta dinyalakan unggun api bagi menggelakkan serangan harimau,” katanya.

Katanya, dia membuat laporan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhubung kejadian itu.

“Perhilitan sudah melakukan pemeriksaan.

“Mereka memaklumkan serangan mungkin membabitkan sekumpulan harimau belang yang dipercayai tiga beranak keluar mencari makanan,” katanya.

Sinar Harian pada Februari lalu melaporkan, 11 lembu milik penduduk turut mati akibat menjadi serangan haiwan tersebut di ladang getah di kampung itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!