Lantikan politik lemahkan peluang menang PRN

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Chin Huat
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Chin Huat
A
A
A

SHAH ALAM - Amalan lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hanya akan melemahkan peluang kemenangan parti-parti kerajaan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan hilang kelayakan moral untuk mendakwa mereka berlainan daripada kerajaan sebelumnya.

Menurutnya, dengan mengikuti amalan lapuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), pembatalan pelantikan politik sebelum ini akan dipandang sinis sebagai semata-mata untuk merampas imbuhan daripada yang kalah, bukannya untuk menjaga kepentingan awam.

“Amalan sebegini sudah berlaku di zaman BN dan menjadi paling teruk semasa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila hampir 90 peratus ahli Parlimen kerajaan yang bukan menteri diberikan jawatan lumayan.

“Jadi, apabila amalan ini diteruskan, pandangan sinis terhadap kerajaan baharu meningkat, maka pengundi medan tengah yang pada asalnya mungkin cendorong menyokong Kerajaan Perpaduan mungkin malas mengundi.

“Ia seterusnya melemahkan peluang kemenangan parti kerajaan dalam PRN akan datang,” katanya kepada Sinar Ahad.

Tambah Chin Huat, pelantikan ahli politik untuk mengisi jawatan tinggi di badan berkanun dan GLC juga akan menimbulkan dua masalah utama.

“Pertama, kalau ahli-ahli politik ini tidak berkeupayaan untuk memegang tanggungjawab, maka pelantikan ini bermaksud kepentingan awam dikorbankan untuk menyaji orang parti pemerintah. Ini kerana badan-badan berkanun dan GLC dinafikan peluang untuk mendapat bakat terbaik.

“Kalau yang dilantik ialah wakil rakyat, sekalipun mereka berkeupayaan akan terjadi percanggahan kepentingan kerana mereka yang seharusnya menyelia pantau di Dewan Rakyat kini duduk dalam pihak yang patut diselia pantau,” jelasnya.

Kerajaan dikritik hebat susulan beberapa siri pelantikan politik untuk mengetuai agensi kerajaan dan GLC dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Antara yang dilantik ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) sementara Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub kekal sebagai Pengerusi Felcra.

Selain itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai pengerusi cabang pelaburan milik Kementerian Kewangan iaitu MyCreative Ventures Sdn Bhd dan Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd.

Terbaharu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengerusi Risda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!