Seorang tidak sedarkan diri, 4 selamat terhidu gas beracun
KOTA KINABALU - Seorang lelaki tidak sedarkan diri, manakala empat rakannya selamat selepas terhidu gas beracun dipercayai daripada tong berisi ikan yang busuk di kawasan jeti di Sepanggar, di sini pada malam Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Jirol Carumpi, 23, ditemukan tidak sedarkan diri, manakala empat lagi rakannya dikenali sebagai, Jolito Araza, 38, Riswan dan Muhammad Mufli masing-masing berusia 27 tahun serta Sahril, 19, segera dikejarkan ke hospital.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, seramai 15 anggota bomba dikejar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.26 malam.
"Sebaik tiba, terdapat gas beracun berpunca daripada sebuah tong berisi ikan yang busuk.
"Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) melakukan pemeriksa kawasan tersebut untuk mendapatkan Data Keselamatan Bahan (MSDS), namun tidak mengesan apa-apa bahan kimia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan terdapat lima mangsa dilaporkan terlibat dikeluarkan oleh pasukan Hazmat Bomba.
"Terdapat lima mangsa dilaporkan terbabit dikeluarkan oleh pasukan Hazmat. Seorang daripada mangsa tidak sedarkan diri dan diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
"Empat lagi selamat dan turut dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia," katanya.
Operasi ditamatkan jam 10.08 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!